LANJUTAN WAKTU OPERASI KK MAHMOODIAH DISAMBUT BAIK


Pelanjutan waktu operasi di Klinik Kesihatan Mahmoodiah sehingga jam 9.30 malam sebagai inisiatif kerajaan dalam menangani isu kesesakan yang berlaku di Hospital Sultanah Aminah (HSA). | Foto MDJ, Ariff Nasseem.

 

JOHOR BAHRU — Waktu pengoperasian di Klinik Kesihatan (KK) Mahmoodiah yang dilanjut baru-baru ini disambut baik oleh orang ramai yang disifatkan mampu membantu warga bandar raya ini untuk mendapatkan kemudahan penjagaan kesihatan yang lebih baik.

 

Tinjauan Media Digital Johor ke klinik kesihatan berkenaan mendapati inisiatif yang dilaksanakan itu memudahkan mereka mendapatkan rawatan terutama selepas waktu bekerja, cuti hujung minggu dan hari kelepasan am.

 

Bagi pekerja swasta, K Kunnaseelan, 36, berkata inisiatif terbaharu daripada kerajaan ini akan memudahkan mereka yang sukar untuk mendapatkan rawatan pada waktu malam.

 

“Kita sebagai anggota masyarakat sememangnya perlukan waktu operasi ini dilanjutkan sampai jam 9 malam seperti ini kerana kita boleh jatuh sakit pada bila-bila masa sahaja.

 

“Jadi saya ucapkan terima kasih kepada pihak kerajaan dan EXCO kerana usahakan (inisiatif) yang sangat baik ini kepada masyarakat,” katanya.

 

Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon melaporkan pelanjutan waktu operasi di KK Mahmoodiah sehingga jam 9.30 malam bermula pada 4 Jun yang lalu. Ia sebagai inisiatif kerajaan dalam menangani isu kesesakan yang berlaku di Hospital Sultanah Aminah (HSA).

 

Sementara itu, P Durga, 26, yang bekerja di Singapura pula turut menyambut baik apabila menurutnya inisiatif tersebut memberi tempoh masa kepadanya untuk mendapatkan rawatan di klinik kesihatan kerajaan itu.

 

“Saya bekerja di Singapura dan memang setuju dengan lanjutan waktu operasi ini kerana tidak sempat ke klinik sebab bekerja, manakala klinik swasta juga ada yang tutup awal,” katanya.

 

P Durga, 26, bekerja di Singapura.

 

Dalam pada itu, Ahmad Taufiq Azlan, 35, berkata langkah tersebut wajar dilaksanakan bagi menggantikan sistem yang sedia ada kerana menurutnya lanjutan waktu operasi tersebut memberi pilihan kepada orang ramai dan mengurangkan kesesakan.

 

“Perkara ini bagus sebab memberi kita pilihan waktu dan tidak perlu bersesak dengan pesakit lain. Kadang-kadang terpaksa mengambil cuti hanya untuk mendapatkan rawatan kerana temujanji kesihatan dilakukan pada tempoh waktu bekerja,” katanya.

 

Ahmad Taufiq Azlan, 35.

 

Sementara itu, Pembantu Pegawai Perubatan KK Mahmoodiah, Syahril Fikri Safaruddin, 42, berkata orang ramai kini boleh mendapatkan rawatan di klinik berkenaan bagi mengurangkan kesesakkan di Unit Kecemasan dan Trauma HSA.

 

Pembantu Pegawai Perubatan KK Mahmoodiah, Syahril Fikri Safaruddin, 42.

 

“Kita menyediakan perkhidmatan di luar waktu pejabat dan mengalu-alukan orang ramai untuk mendapatkan rawatan di sini.
Usaha ini sangat baik terutamanya daripada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Johor kerana KK ini terpilih menjadi salah satu projek rintis di Malaysia.

 

“Projek ini juga bagus untuk rakyat Johor kerana dapat membantu mereka yang bekerja pada waktu pejabat untuk hadir selepas waktu bekerja dan seterusnya menerima rawatan serta perkhidmatan kesihatan yang terbaik,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor