256 LOKASI JALAN PERSEKUTUAN ROSAK DIKESAN


Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya , Pengangkutan dan Infrstruktur Negeri Johor, Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh | Sumber foto MedKom.

 

ISKANDAR PUTERI — Terdapat 256 lokasi kerosakan dikesan di sepanjang jalan persekutuan di seluruh negeri ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya , Pengangkutan dan Infrstruktur Negeri Johor, Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh.

 

Menurutnya, pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) telah mengajukan permohonan berjumlah RM223.5 juta bagi tujuan baik pulih.

 

Bagaimanapun, ujar beliau, hanya RM20.8 juta sahaja diluluskan setakat tahun ini, di mana angkat itu hanya dapat membaiki 20 lokasi atau lapan peratus daripada keseluruhan lokasi kerosakan.

 

“Terdapat 123 jalan persekutuan yang berada dalam negeri Johor dengan panjang jalan ialah 2,415 kilometer.

 

“Daripada jumlah tersebut, sepanjang 537.27 kilometer telah menggunakan Performance Based Contractual (PBC) manakala selebihnya masih menggunakan Federal Road Maintenance (FRM),” katanya dalam ucapan penggulungan di Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor Ke-15, semalam.

 

Bagi jalan persekutuan FT001, FT003 dan FT005, Mohamad Fazli berkata, laluan terbabit menerusi kontrak PBC yang telah menerima peruntukan RM105 juta pada tahun ini, bagi pembaikan di 112 lokasi.

 

Bagi perincian, Jalan Batu Pahat-Johor Bahru FT001 menerima RM29 juta untuk 36 lokasi, Jalan Mersing-Johor Bahru FT003 (RM37 juta, 27 lokasi) dan Jalan Pontian-Johor Bahru FT005 (RM39 juta, 49 lokasi).

 

Ujar beliau, kerja pembaikan tiga jalan persekutuan itu dipantau secara rapat oleh pihaknya, kerana laluan tersebut merupakan jalan paling banyak terima aduan kerosakan teruk di Johor.

 

Merujuk kepada Lebuhraya Pasir Gudang, beliau memberitahu laluan itu melibatkan dua jalan persekutuan iaitu FT17 dan FT35 serta antara yang paling banyak aduan diterima.

 

“Fasa 1 melibatkan 8 kilometer (Kangkar Tebrau-Plentong) dan Fasa 2A sejauh 7.7 kilometer (Plentong-Seri Alam / Taman Rinting) telah disiapkan.

 

“Fasa 2B melibatkan 5.5 kilometer (Seri Alam / Taman Rinting-Pasir Gudang) dalam pembinaan. Manakala Fasa 3 sejauh 7 kilometer (Perling-Susur Naik Lebuhraya PLUS) dalam perancangan untuk diangkat dalam Rolling Plan Ke-3 (RP3),” katanya.

 

Mengulas lanjut, Mohamad Fazli berkata, Fasa 3 tersebut membabitkan kerja naik taraf kepada enam lorong, pembinaan semula struktur jalan sedia ada, naik taraf sistem saliran selain pelebaran serta meroboh dan membina baru jambatan.

 

“Selain empat fasa ini, pihak JKR sentiasa melakukan permohonan melalui kontrak FRM bagi membaiki jalan rosak sepanjang Lebuhraya Pasir Gudang,” katanya.

 

Sementara itu, beliau berkata, JKR dan konsesi telah mengenalpasti 227 lokasi jalan rosak termasuk akibat banjir, namun angka itu dijangka bertambah selepas keadaan pulih.

 

“Daripada jumlah itu, hanya 61 lokasi yang mampu dirancang untuk dibaiki pada tahun ini dengan kos keseluruhan sebanyak RM37.4 juta. Daerah yang mencatatkan kerosakan paling teruk ialah Segamat.

 

“Oleh itu, kerajaan negeri telah mengemukakan peruntukan kecemasan RM168 juta kepada Kerajaan Persekutuan bagi menampung kos pembaikan jalan seluruh negeri yang rosak akibat banjir.

 

“Kerosakan jalan ini melibatkan permukaan berlubang, cerun runtuh, mendapan dan struktur jambatan rosak,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor