TAMAN KEKAL PENGELUARAN MAKANAN KUKUH PRODUKTIVITI PERTANIAN


Taman Kekal Pengeluaran Makanan.

 

Jabatan Pertanian Negeri Johor akan terus memainkan peranan penting dalam melahirkan lebih ramai warga petani dalam pelbagai sektor pertanian sekali gus dapat memastikan Johor berada di landasan tepat bagi menjayakan agenda menjadi peneraju sekuriti makanan negara.

 

Usaha seumpama itu akan terus disokong menerusi inisiatif Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) di lima daerah bagi mewujudkan kawasan pengeluaran makanan kekal dan melahirkan usahawan di dalam sektor pertanian serta menggalakkan penglibatan sektor swasta di dalam bidang pengeluaran makanan.

 

Jabatan Pertanian Negeri Johor menyediakan bantuan mekanisasi seperti jentera dan peralatan moden serta penggunaan internet kebendaan (IOT) bagi memperkasa produktiviti di TKPM sekali gus menyokong serta mengoptimumkan pengeluaran hasil pertanian dan agromakanan di negeri ini.

 

Inisiatif tersebut juga menggalakkan petani menggunakan sistem fertigasi berteknologi tinggi yang mampu melonjakkan pengeluaran hasil sekali gus meningkatkan produktiviti pengeluaran tanaman sayuran Negeri Johor daripada 13.69 metrik tan pada tahun 2018 kepada 15.05 metrik tan menjelang tahun 2025.

 

Malah, TKPM Ulu Tiram telah menjadi antara pusat pengeluaran sayuran komersial bermutu tinggi selepas menghasilkan 2.4 juta kilogram (kg) sayur dengan nilai pengeluaran RM8.54 juta setahun selepas memanfaatkan sistem fertigasi dan pengairan yang memastikan hasil tanaman sentiasa subur dan berkualiti.

 

Selain itu, sebanyak 5,538.45 metrik tan hasil tanaman telah dipasarkan dari sembilan TKPM di Kota Tinggi, Segamat, Batu Pahat, Muar dan Pontian melibatkan tanaman buah-buahan dan sayur-sayuran serta tanaman kontan dalam tempoh sembilan bulan pada tahun 2023.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor