TANAM IMPIAN LONJAK IMEJ BERAS SUNGAI BALANG


Produk Beras Sungai Balang. | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

Memiliki kawasan sawah padi di luar jelapang padi tidak menjadi penghalang bagi pengusaha sawah padi di Sungai Balang, Muar untuk mengangkat nama kampung mereka ke persada dunia.

 

Semangat ini jelas terpancar pada Nor Indahna Main, 45, pengusaha sawah padi yang gigih untuk mengangkat produk Beras Sungai Balang sebagai jenama unggul tempatan dalam sektor pelancongan di peringkat antarabangsa.

 

Jelasnya, walaupun Sungai Balang bukan sebahagian daripada kawasan jelapang padi utama negara, namun gabungan komitmen pemain industri, inovasi dan strategi pemasaran yang proaktif mampu mengangkat nama Beras Sungai Balang ini ke mata dunia.

 

Nor Indahna bersama pengusaha sawah padi lain turut mengambil langkah strategik dengan memanfaatkan platform digital, di samping aktif menyertai pelbagai pameran dan ekspo pertanian bagi memperkenalkan beras tempatan ini kepada orang ramai.

 

Selain menghasilkan beras sebagai produk utama, padi Sungai Balang turut digunakan bagi penghasilan produk hiliran seperti kertas jerami dan juga lakaran tulisan khat yang bukan sahaja unik tetapi juga diolah menjadi cenderamata istimewa untuk pelancong yang berkunjung ke Sungai Balang.

 

Nor Indahna turut menzahirkan penghargaan atas bantuan dan inisiatif yang diberikan oleh Kerajaan Johor dan Kerajaan Persekutuan dalam menyokong kumpulan pengusaha sawah padi di Sungai Balang untuk mengusahakan tanaman mereka dengan lebih efisien dan berdaya saing.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor