TEKNOLOGI SIRIM BEKAL AIR BERSIH KEPADA MANGSA BANJIR


Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menguji keberkesanan sistem penapisan air mudah alih yang dihasilkan oleh SIRIM di Sungai Bang, Kota Tinggi hari ini. | Foto MDJ Wira Anggara

 

Sistem penapisan air mudah alih dihasilkan SIRIM Berhad (SIRIM) akan digunakan di kawasan terputus bekalan air terawat akibat banjir termasuk di negeri ini.

 

Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memberitahu inovasi berkenaan bagi menyediakan bekalan air bersih kepada mangsa banjir termasuk di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

 

Selain itu, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) juga diarah untuk menempah 20 unit tambahan sistem berkenaan untuk dijadikan simpanan bagi kegunaan pada masa akan datang.

 

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri menyaksikan penyerahan tiga unit sistem penapisan mudah alih diserahkan oleh SIRIM kepada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) di Sungai Bang, Kota Tinggi.

 

Penyerahan tersebut disempurnakan oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif SIRIM, Dato’ Indera Ir. Dr. Ahmad Sabirin Arshad kepada Ketua Pesuruhjaya APM, Datuk Aminurrahim Mohamed.

 

Di samping itu, Ahmad Zahid meminta SIRIM menghasilkan pam air berkuasa tinggi bagi menyelesaikan masalah banjir termenung di seluruh negara.

 

Langkah berkenaan bagi mengurangkan kebergantungan kepada pam-pam air yang diimport dari luar negara.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor