TERUJA MENANTIKAN PEMBUKAAN SEMULA ZOO JOHOR


Zoo Johor dijangka buka kepada orang awam dalam masa terdekat. | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

Orang ramai khususnya Bangsa Johor sememangnya amat merindui dan tidak sabar menantikan pembukaan semula Zoo Johor yang diberikan nafas baharu selain harga tiket kemasukannya dijamin Kerajaan Negeri antara yang termurah di Malaysia bagi melonjakkan industri pelancongan negeri ini.

 

Bagi Mas Faridatul Ikmal Masrudin, 25, dia begitu teruja dengan konsep baharu zoo berusia 96 tahun yang lebih segar, moden dan sesuai untuk dimasukkan di dalam ‘bucket list’ destinasi pelancongan bersama keluarga lebih-lebih lagi dia mempunyai 1,001 nostalgia ketika melakukan aktiviti bot kayuh di tasik buatan Zoo Johor.

 

Tambahnya, kebanyakan pengunjung daripada golongan keluarga bersama anak-anak kecil menjadikan Zoo Johor sebagai medan pendedahan interaksi sosial dengan haiwan yang memberinya harapan agar pihak pengurusan dapat mewujudkan taman permainan kanak-kanak sebagai daya tarikan baharu.

 

Menggelar dirinya sebagai pengunjung tetap Zoo Johor, Nur Isra Hafiqah Ishak, 26, mengakui sangat rindu dan tidak sabar meluangkan masa melihat secara dekat keletah comel pelbagai spesies haiwan terdapat di sana sejak ia ditutup pada 2020 selain mengharapkan ruang rehat yang mencukupi demi keselesaan pengunjung.

 

Isra juga memuji usaha bersepadu digerakkan Kerajaan Negeri menaik taraf Zoo Johor agar ia selari dengan kehendak pelancong domestik dan antarabangsa menerusi penjualan cenderamata di kiosk disediakan agar pengunjung yang hadir akan pulang bersama kenangan manis.

 

Berbeza pula dengan Haze Chua Si Jie, 24, pelajar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang kali terakhir berkunjung ke Zoo Johor pada November 2019 berpandangan agar pihak pengurusan memperkenalkan zon khas yang membenarkan pengunjung menyentuh dan memberi makan haiwan.

 

Kerja-kerja menaik taraf zoo berkeluasan 11.70 ekar yang telah pun selesai kini sedang memasuki fasa akhir persediaan memulakan operasi sebelum tarikh pembukaan semula Zoo Johor akan diumumkan oleh YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor dalam masa terdekat.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor