TIADA BAYARAN UNTUK MOHON RMMJ


YB Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan & Kerajaan Tempatan Johor | Foto MEDKOM

 

Bangsa Johor dinasihatkan supaya tidak terpedaya dengan helah sindiket yang cuba mengaut keuntungan ‘atas angin’ apabila mengenakan caj tidak masuk akal sehingga RM5,000 kepada pemohon yang ingin mendapatkan Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ).

 

Ini kerana Kerajaan Johor tidak pernah mengenakan sebarang caj bagi tujuan permohanan RMMJ kerana proses permohonan perlu dibuat menerusi platform eRumah yang disediakan oleh Kerajaan Negeri dalam usaha membantu rakyat Johor memiliki kediaman sendiri.

 

Permohonan RMMJ yang telah berjaya hanya perlu membuat bayaran bernilai RM30 sahaja bagi membolehkan pihak pemaju menuntut Sijil Layak Memiliki Rumah (SLMR) sebaik sahaja menerima pemakluman kelulusan daripada pihak Perbadanan Kemajuan Perumahan Johor (PKPJ).

 

Selain itu, Kerajaan Johor juga serius membendung budaya ‘sewa atas sewa’ atau ‘sublet’ premis kediaman Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Rumah Sewa Kerajaan (RSK) menerusi kaedah ‘profiling’ dan penyerahan bantuan bakul makanan yang membolehkan 1,238 kes membabitkan isu sublet berjaya diselesaikan.

 

Malah, mereka yang sudah dikenal pasti menduduki kediaman PPR dan RSK secara sublet akan diberi keutamaan untuk membuat permohonan tawaran RMMJ sekali gus membantu mereka memiliki kediaman sendiri berbanding terpaksa membayar kadar sewa PPR yang lebih tinggi daripada kadar yang ditetapkan.

 

Langkah tersebut mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri dalam memastikan setiap unit rumah PPR dan RSK didiami oleh golongan yang benar-benar layak menduduki iaitu dengan menepati syarat yang ditetapkan seperti mempunyai pendapatan isi rumah di bawah RM3,000.

 

Terdahulu, YB Dato’ Mohd Jafni Md Shukor ditemui media selepas menjawab soalan YB Baharudin Mohamed Taib, Ahli Dewan Negeri Johor (ADUN) kawasan Permas berhubung permohonan RMMJ melalui platform eRumah di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, hari ini.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor