JUALAN KASIH JOHOR TERIMA SAMBUTAN LUAR BIASA


YB Dato’ Zahari Sarip, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor. | Foto MEDKOM

 

Berikutan sambutan luar biasa diterima menerusi penganjuran Jualan Kasih Johor sempena perayaan Tahun Baharu Cina dan Hari Raya Aidilfitri, mekanisme pelaksanaan inisiatif berkenaan akan terus ditambah baik agar supaya mencapai objektif dalam membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat.

 

Antara cadangan langkah-langkah yang diambil Kerajaan Negeri bersama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) adalah mengawal selia jualan agar tidak berlaku pertindihan agihan penjimatan dan mengehad pembelian bagi setiap individu supaya manfaat dirasai lebih ramai kumpulan sasar.

 

Selain itu, kaedah pemberian kupon kepada kumpulan sasar utama seperti golongan B40, miskin dan miskin tegar, asnaf dan kumpulan sasar bersesuaian dan perlu diutamakan selain mencadangkan kepada Ahli Dewan Negeri (ADN) Johor kawasan menambah peruntukan dan subsidi penjimatan.

 

FAMA turut merancang pelaksanaan Jualan Kasih Johor di 150 lokasi seluruh negeri ini, bagi setiap lokasi usahasama pasar awam, pasar tani dan kawasan tumpuan penduduk golongan B40 atau M40 dengan jumlah tampungan setiap lokasi dianggarkan hingga RM5,000 seterusnya tidak hanya memfokuskan musim perayaan sahaja.

 

Untuk rekod, sambutan bagi Jualan Kasih Johor sempena dua musim perayaan sebelum ini merekodkan nilai penjimatan sebanyak RM3.5 juta dengan penerima manfaat berjumlah 448,913 orang dan Kerajaan Negeri merancang melaksanakan inisiatif berkenaan di 60 lokasi di seluruh Johor bagi musim perayaan Deepavali akan datang.

 

Sebanyak RM5 juta diperuntukkan Kerajaan Negeri bagi pelaksanaan Jualan Kasih Johor yang mensasarkan 800,000 penerima manfaat di 300 lokasi menerusi kaedah pengurangan harga signifikan bagi produk makanan terpilih seperti ayam, telur, minyak masa dan ikan seperti diumumkan dalam Belanjawan Johor 2024.

 

Terdahulu, YB Dato’ Zahari Sarip, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor menjawab soalan mengenai Jualan Kasih Johor secara bersekali pada Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Ketiga Dewan Negeri Johor Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, hari ini.

 

Kesemua soalan telah ditanyakan oleh YB Tan Eng Meng, ADN Johor Kawasan Pekan Nanas; YB Dato’ Jefridin Atan, ADN Johor Kawasan Kukup; YB Anuar Abd. Manap, ADN Johor Kawasan Pemanis; Ng Yak Howe, ADN Johor Kawasan Bentayan dan YB Datuk Mohamad Najib Samuri, ADN Johor Kawasan Parit Yaani.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor