TIADA KASINO, MUKTAMAD – MB


YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor di Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Ketiga Dewan Negeri Johor Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar. | Foto MEDKOM

 

Kerajaan Negeri sekali lagi membuat penegasan tiada kasino akan dibuka atau beroperasi di Forest City sekali gus menyifatkan dakwaan seperti yang tular adalah fitnah liar dan berunsurkan niat jahat untuk mencemarkan imej Negeri Johor terutama kawasan yang bakal dibangunkan Zon Kewangan Khas (SFZ).

 

Sehingga kini, Kerajaan Negeri bekerjasama erat dengan Kerajaan Persekutuan bagi merealisasikan SFZ di Forest City seperti diumumkan YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri pada Ogos tahun lalu, malah menyokong penuh inisiatif berkenaan yang akan meletakkan Negeri Johor dalam peta dunia.

 

Penubuhan SFZ kelak mampu membantu merancakkan pertumbuhan ekonomi setempat dan menjadi katalis yang menggandakan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) selain memberi limpahan manfaat kepada rakyat seperti peluang pekerjaan baharu dalam sektor kewangan, perbankan dan insurans serta meningkatkan kemudahan infrastruktur awam.

 

Bagi memastikan pelaksanaan SFZ menarik lebih banyak pelabur, sektor perkhidmatan perbankan dan kewangan telah dicadangkan untuk dijadikan sebagai aktiviti ekonomi di kawasan berkenaan termasuk beberapa insentif cukai yang dijangka dimuktamadkan oleh Kementerian Kewangan pada hujung bulan ini.

 

Sehingga tahun 2022, sebanyak 28,000 unit kediaman sudah disiapkan dalam tempoh tujuh tahun sejak projek mega pembangunan bercampur di atas empat pulau buatan di perairan Johor itu bermula pada 2015 dengan fokus utama pemaju yang tertumpu kepada pulau buatan pertama seluas 1,400 ekar.

 

Forest City juga memiliki hotel dan padang golf bertaraf antarabangsa selain kilang prefabrikasi Sistem Binaan Berindustri (IBS) terbesar di Malaysia yang diiktiraf oleh Malaysia Book of Records (MBOR) serta taman tema air yang menjadi salah satu destinasi tarikan pelancongan.

 

Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor menjawab soalan YB Andrew Chen Kah Eng, Ahli Dewan Negeri (ADN) Johor kawasan Stulang, YB Ng Kor Sim, ADN Johor kawasan Jementah serta YB Liow Cai Tung ADN Johor kawasan Johor Jaya secara bersekali mengenai perancangan menjayakan SFZ di Forest City pada Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Ketiga Dewan Negeri Johor Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, hari ini.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor