PESANAN USTAZ DORONG KEJAYAAN FAZLYN RANIA


Fazlyn Rania Mohd Fadzli dinobatkan sebagai Pelajar Terbaik Sijil Darjah Khas Agama (SDKA) Tahun 2023. | Foto MDJ Inarah Izazi

 

Pesanan guru kepada calon Sijil Darjah Khas Agama (SDKA) supaya mengambil peperiksaan berkenaan sekali dalam seumur hidup tanpa ulangan dan belajar bersungguh-sungguh menjadi pendorong kejayaan Fazlyn Rania Mohd Fadzli yang dinobatkan sebagai Pelajar Terbaik SDKA Tahun 2023.

 

Fazlyn Rania, 14, yang merupakan pelajar Sekolah Agama Taman Bukit Dahlia, dekat Pasir Gudang akui tidak menyangka akan memperoleh keputusan agregat 12A1 sekali gus diumumkan pelajar terbaik kerana pada awalnya hanya mensasarkan untuk meraih Pangkat Satu sahaja.

 

Anak bongsu daripada tiga beradik kepada pasangan, Mohd Fadzli Asmon dan Rohaini Mohd Satari itu menitipkan pesanan dan mengajak supaya bersama mendoakan kejayaan rakan-rakan selain menjadikan solat sunat sebagai amalan dalam kehidupan.

 

Selain itu, Fazlyn Rania tidak menyangkal pengetahuan akademik dan agama disertai teknik pembelajaran ketika menuntut di Sekolah Rendah Tahfiz Darul Irfan juga menjadi salah satu faktor yang memudahkannya sepanjang setahun berada di peringkat Darjah Khas.

 

Malah, kecemerlangan pelajar senior di sekolah rendah dinobatkan sebagai Pelajar Terbaik SDKA Tahun 2021 dan pelajar senior di sekolah menengah yang sering meraih kedudukan pertama pada setiap ‘batch’ turut menjadi pembakar semangat serta mendorong kepada kejayaan diraih.

 

Secara keseluruhan, Kota Tinggi muncul sebagai Daerah Terbaik SDKA Tahun 2023 dengan mencatatkan Gred Purata Skor (GPS) 2.32 sementara Sekolah Agama Mawai Baru pula diumumkan Sekolah Terbaik SDKA Tahun 2023 pada Majlis Pengisyhtiharan Keputusan Peperiksaan SDKA Tahun 2023, hari ini.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor