TIADA YANG MUSTAHIL JIKA INGIN BERJAYA
Oleh Badrul Kamal Zakaria
BATU PAHAT — Kekurangan fizikal ternyata bukan penghalang untuk berjaya asalkan mempunyai semangat waja, iltizam yang tinggi serta tidak mudah berputus asa.
Itulah yang dibuktikan oleh staf akademik Majlis Profesor Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Prof Ts Dr Zaidi Embong apabila tersenarai dalam buku ‘Tiada Yang Mustahil – Kisah Kejayaan OKU (Edisi Kedua)’ terbitan Institut Sosial Malaysia (ISM) baru-baru ini.
Dr Zaidi yang berkemahiran luas dalam bidang fizik dan multi disiplin, berkata beliau disahkan mengidap penyakit ‘Miyoshi Dystropy’ iaitu kerosakan otot yang disebabkan oleh faktor genetik ketika berada di tahun akhir pengajian ijazah doktor falsafah (phd) di Universiti Bristol, England.
Katanya, sebelum menderita penyakit terbabit beliau sebenarnya adalah seorang yang sangat aktif dalam kegiatan badan beruniform dan sukan.
“Penyakit Miyosho Dystropy ini menyebabkan saya tidak lagi mampu berjalan bermula dengan fasa bertongkat hingga akhirnya kini terpaksa menggunakan kerusi roda.
“Namun saya tidak pernah menjadikan kekurangan ini sebagai penghalang diri ini untuk terus bergerak ke hadapan sebagai seorang pendidik dan juga penyelidik yang berjaya,” katanya dalam kenyataan media UTHM.
Dr Zaidi berkata, selain aktif dalam bidang pengajaran ilmiah dan penyelidikan akademik, beliau kini juga giat berkongsi ilmu kepakarannya bersama masyarakat dengan memenuhi undangan seminar dan bengkel anjuran pelbagai pihak.
Katanya, dengan pengiktirafan terbaharu itu juga disifatkan sebagai ‘tonik’ semangat tambahan kepada dirinya untuk terus mencipta kejayaan selain berharap ia juga menjadi inspirasi dan rujukan kepada golongan sasaran khususnya OKU dan pengamal kerja sosial.
Untuk rekod, kisah kejayaan Dr Zaidi yang berstatus OKU telah tersenarai dalam buku berkenaan menerusi slot akademik bersama 29 tokoh lain mengikut bidang masing-masing seperti kemasyarakatan, kesenian, keusahawanan dan sukan.
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor