TINDAKAN PROAKTIF KERAJAAN JOHOR DIPUJI


Hafizan Abdul Wahab, 45, dari Kampung Melayu Bukit Batu, Kulai menzahirkan kesyukuran dengan bantuan kecemasan diterima selain merakamkan penghargaan kepada pasukan petugas barisan hadapan yang memastikan pemindahan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) berjalan lancar. | Foto MDJ Aisyah Mazalan

 

#Kulai – Tindakan pantas dan responsif Kerajaan Negeri dalam menyalurkan Bantuan Khas Kewangan Bencana Banjir Monsun Timur Laut (MTL) Gelombang Kelima berjumlah RM11.2 juta bagi meringankan beban mangsa di enam daerah termasuk Kulai dan Pontian mendapat pujian.

 

Bagi Hafizan Abdul Wahab, 45, dari Kampung Melayu Bukit Batu, Kulai menzahirkan kesyukuran dengan bantuan kecemasan diterima selain merakamkan penghargaan kepada pasukan petugas barisan hadapan yang memastikan pemindahan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) berjalan lancar.

 

Selain itu, langkah penyelesaian jangka panjang seperti kerja-kerja mendalamkan sungai dan membina kolam takungan bagi menampung jumlah air yang banyak oleh pihak berkaitan diharapkan dapat dilaksanakan bagi mengelakkan kejadian banjir terus berulang.

 

Meskipun kerja-kerja pembersihan longkang dan parit monsun dilakukan secara berkala, Hafizan menyifatkan langkah itu masih belum mencukupi untuk mengatasi masalah banjir dan berharap agar sistem saliran yang lebih baik dapat dibina untuk mengurangkan jumlah kerugian akibat banjir.

 

Sementara itu, Saprah Janawi, 73, dari Kampung Parit Haji Siraj, Pontian, juga memuji tindakan pantas Falah Abdul Hussain, Ketua Kampung Kawasan 3 Mukim Api-Api yang memintanya untuk segera berpindah ke PPS meskipun situasi banjir belum bertambah serius.

 

Bantuan khas kewangan yang disalurkan Kerajaan Negeri turut mencerminkan keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap mangsa banjir untuk membuat persiapan Aidilfitri walaupun nilai kerugian dianggarkan tidak mencecah ribuan ringgit.

 

#BantuanKhasBanjir
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor