TKBJ BAKAL JADI PELENGKAP EKOSISTEM PENDIDIKAN SRBJ

Kerajaan Johor bakal memperkenalkan TABIKA KEMAS Bangsa Johor (TKBJ) sebagai pelengkap kepada ekosistem pendidikan Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ). | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

#JohorBahru – Selepas kejayaan membangunkan inisiatif Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ), Kerajaan Johor terus memperkukuh transformasi pendidikan di negeri ini apabila TABIKA KEMAS Bangsa Johor (TKBJ) bakal diperkenalkan dan ia juga akan menjadi pelengkap kepada ekosistem model pendidikan SRBJ kelak.

 

Inisiatif yang dilaksanakan ini merupakan kesinambungan daripada ilham Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor dalam memberi penekanan kepada sektor pendidikan khususnya membabitkan penguasaan bahasa Inggeris, STEM, pentaksiran serta kebolehpasaran murid dalam usaha melahirkan pelajar bertaraf global.

 

Bagi Mohd Hakimin Rusli, 37, beliau berasa amat teruja apabila melihat ruang dan peluang kepada anak-anak Johor untuk belajar di TKBJ yang pastinya bakal menawarkan suasana pembelajaran yang lebih kondusif serta penggunaan teknologi yang canggih, sekali gus memberikan semangat kepada mereka untuk belajar dengan lebih baik.

 

Wullan Osman, 30, pula menyatakan rasa bangga terhadap kewujudan ekosistem pendidikan Johor yang lengkap dan eksklusif bermula dari peringkat awal pembelajaran kanak-kanak selain turut tertarik dengan Modul Kesultanan Islam Johor serta kelas hafazan yang dilihat mampu memperkukuh jati diri dan sahsiah anak Bangsa Johor.

 

Pembangunan TKBJ dengan peruntukan hampir RM4 juta daripada Kerajaan Johor itu akan berfungsi sebagai TABIKA ‘feeder’ kepada SRBJ yang memfokuskan kepada pembelajaran bahasa Inggeris, pendidikan digital serta modul STREAM (Science, Technology, Religions, Engineering, Arts and Mathematics) dan Program Smartclassroom@KEMAS.

 

Pendekatan ini akan memperkukuh pembelajaran abad ke-21 melalui integrasi teknologi digital dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP), selain turut memperkenalkan Modul Kesultanan Islam Johor yang merangkumi elemen identiti Johor, persekitaran menarik negeri, Kesultanan Johor, warisan, budaya serta sejarah dan jati diri yang terdapat di negeri ini.

 

Ketika ini, sebanyak empat premis merangkumi tujuh kelas TKBJ telah dibangunkan di daerah Johor Bahru iaitu masing-masing dua premis di Parlimen Johor Bahru dan Pasir Gudang, selain ia juga menjadi simbol kepada fasa awal peluasan ekosistem pendidikan Bangsa Johor.

 

Terdahulu, YAB Dato’ Seri Dr. Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri 1 merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) hadir ke Majlis Libat Urus Kepimpinan Bersama Ibu Bapa TKBJ di TKBJ Rumah Rakyat, Flat Perumahan Rakyat Larkin, hari ini. Hadir sama ialah YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor.

 

#JohorSafeZone
#TabikaKemas
#BangsaJohor
#SRBJ
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor