TMJ BERI BAYANGAN JDT 2023
ISKANDAR PUTERI — Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim seakan ‘memberi bayangan’ barisan pemain pasukan utama Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk musim 2023.
Menerusi InstaStory dimuat naik dalam akaun Instagram, pemilik JDT itu telah menamakan pemain yang bakal ditempatkan dalam setiap posisi menerusi lakaran formasi 3-4-3.
Siaran InstaStory itu sekali gus menghadirkan keterujaan kepada peminat dan penyokong Skuad Harimau Selatan untuk menantikan kejutan yang bakal diumumkan.
Antara nama pemain untuk barisan serangan JDT adalah Bergson da Silva, Fernando Forestieri dan terbaharu, Diogo Luis Santo yang kembali menyertai pasukan.
Bahagian tengah pula, La’Vere Corbin Ong, Naxto Insa, Leandro Velazquez dan Arif Aiman, namun terdapat dua kuota import yang ditinggalkan dengan tanda baca iaitu tanda soal.
Manakala barisan pertahanan, dinamakan Shane Lowry, Jordi Amat dan Matthew Davies selain dua nama lagi iaitu Feroz Baharudin dan Shahrul Saad.
Tidak mengejutkan, nama penjaga gol utama JDT, Farizal Marlias berada dalam senarai tersebut, namun terdapat satu kekosongan yang ditinggalkan dengan tanda soal.
Bagaimanapun, lakaran formasi dimuat naik tersebut dimaklumkan oleh Tunku Ismail sebagai ‘hanya contoh’ dan lebih banyak informasi akan menyusul.
Terdahulu, JOHOR Southern Tigers menerusi Facebook rasminya memuat naik video berdurasi 51 saat bertajuk ‘Someone dropped by last night’ memaparkan keberadaan Diogo Luis Santo di Johor.
Video tersebut memaparkan pemain kelahiran Brazil itu ke Stadium Sultan Ibrahim dengan memakai sut hitam JDT selain paparan bersama jersi bernombor 11 atas namanya.
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor