DATUK BANDAR MBIP TINJAU DUA JAMBATAN ROSAK


Datuk Bandar Iskandar Puteri, Dato’ Mohd Haffiz Ahmad (kanan) meninjau keadaan dua jambatan yang dikatakan mengalami kerosakan struktur / Gambar Ihsan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri.

 

ISKANDAR PUTERI — Bertindak atas aduan awam, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) mengambil langkah proaktif apabila turun padang bagi melihat sendiri struktur jambatan yang dikatakan mengalami kerosakan.

Lawatan yang diketuai sendiri Datuk Bandar Iskandar Puteri, Dato’ Mohd Haffiz Ahmad dilaksanakan bagi mengenal pasti aduan kerosakan jambatan di Jalan Aman, Taman Sri Orkid dan Jalan Hang Jebat, Taman Skudai Baru.

Dalam kenyataan di laman Facebook rasmi MBIP, lawatan berkenaan yang turut disertai Jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Daerah Johor Bahru bagi melihat sendiri struktur kedua-dua kemudahan awam berkenaan.

“Hasil lawatan mendapati struktur kedua-dua jambatan berkenaan yang merentasi Sungai Melana masih dalam keadaan baik dan terkawal.

“Bagaimanapun, pemantauan awal mendapati terdapat hakisan tanah tebing sungai selain terdapat sisa binaan hanyut yang terdapat di bawah jambatan berkenaan,” katanya.

Hadir sama ialah Ahli Majlis Zon Skudai Baru, Lim Soon Hai dan Ahli Majliz Zon Selesa Jaya, Tambi Omar Latip.

Dalam kenyataan sama, meskipun MBIP mendapati kedua-dua jambatan itu masih dalam keadaan terkawal, pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan akan tetap melakukan kajian terperinci mengenainya.

“Bagi meningkatkan keyakinan awam, satu kajian dari makmal bertauliah akan dilantik bagi menguji kestabilan struktur jambatan berkenaan, selain cadangan penambahbaikan,” katanya.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor