TMJ YAKIN ‘KEMAMPUAN’ MENTERI KBS


Tangkap layar ciapan titah Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim serta Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

 

ISKANDAR PUTERI — Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim bertitah menzahirkan keyakinan akan ada masa depan lebih baik dalam industri sukan tanah air.

 

Keyakinan baginda Tunku itu bersandarkan dedikasi dan komitmen Menteri Belia dan Sukan yang baharu, Hannah Yeoh.

 

Baginda Tunku bertitah sedemikian susulan penghargaan Hannah terhadap Tunku Mahkota Johor kerana telah meminjamkan kanvas bagi menutup permukaan padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) sebelum ini.

 

“Sama-sama YB. Seperti dalam pertemuan baru-baru ini, saya yakin dedikasi dan komitmen anda, akan ada masa depan yang lebih baik untuk semua sukan, acara sukan dan kemudahan sukan.

 

“Lebih banyak berita baik akan datang untuk peminat sukan,” titah baginda Tunku dalam ciapan balas kepada Hannah menerusi akaun Twitter semalam.

 

Terdahulu, Hannah dalam ciapan melalui akaun Twitternya memberitahu Perbadanan Stadium Malaysia telah membeli kanvas baru bagi menutup permukaan padang SNBJ semasa hujan.

 

Selain memuat naik gambar mengenai penutupan permukaan padang SBNJ dengan kanvas baru, beliau memaklumkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) komited membawa penambahbaikan fasiliti sukan.

 

Ahli Parlimen Segambut itu menjunjung kasih kepada Tunku Mahkota Johor yang meminjamkan kanvas padang sebelum ini, selain turut mengucapkan terima kasih kepada sukarelawan Satria.

 

Baru-baru ini, Tunku Mahkota Johor dan Che’ Puan Besar Khaleeda terima mengadap Hannah di Ibu Pejabat Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT), kelmarin.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor