TUGAS KETUA KAMPUNG BUKAN HANYA SEKADAR ‘TUKANG COP’


Inisiatif Kerajaan Johor pada Belanjawan 2023 menyebabkan berlakunya anjakan paradigma terutama dari segi peningkatan profesionalisme ketua masyarakat sehingga membolehkan pelbagai perangcangan pembangunan dapat dilaksanakan dengan lebih baik. | Foto MDJ Nurina Aisyah.

 

Oleh Farhanah Haziqah Noh

 

Inisiatif Kerajaan Negeri Johor dalam memperkasakan institusi ketua kampung di negeri ini menerusi peruntukan sebanyak RM500,000 bagi kursus jangka pendek dan insentif bagi mereka yang berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat Diploma Eksekutif pada Belanjawan 2023 berjaya melahirkan ketua masyarakat berkenaan yang lebih terampil dan profesional.

 

Ketua Kampung Felda Bukit Aping Timur, Zakria Mahmood berkata inisiatif yang dilaksanakan kerajaan sedikit sebanyak menjadi satu pengiktirafan dan pada masa sama dapat memperkasakan ilmu pengetahuan dalam diri seseorang ketua kampung.

 

“Dengan adanya Diploma Eksekutif ini ia akan menjadi satu pengiktirafan dalam penambaik ilmu pengetahuan. Biasanya orang mencari ketua kampung untuk ‘mengecop borang’. Menerusi inisiatif ini, ia bukan sahaja kerja mengecop malah peranan ketua kampung turut terserlah terutama dalam soal membangunkan sosioekonomi di kampung”, katanya.

 

Bagi Ketua Kampung Pok, Fuad Ishak, berkata menerusi inisiatif itu menyebabkan berlakunya anjakan paradigma terutama dari segi peningkatan profesionalisme ketua masyarakat berkenaan sejak muktakhir ini sehingga membolehkan pelbagai perangcangan pembangunan dapat dilaksanakan dengan lebih baik berbanding dahulu.

 

“Dari sudut sosial dikampung saya tidak ada masalah kerana semuanya terjaga dan kami selalu membuat program aktif di masjid. Kami juga mendapat peruntukan RM1,000 untuk aktiviti gotong royong di masjid daripada Kerajaan Negeri Johor.

 

Sementara itu, Ketua Kampung Melayu Gelang Patah, Rahizam Rahmat berkata, pihaknya sentiasa mengalukan pelbagai inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan kerana ia sudah pasti akan memberikan manfaat bukan sahaja kepada individu ketua kampung itu sendiri tetapi juga masyarakat kampung secara keseluruhannya.

 

#TriviaBelanjawanJohor2023
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor