TUNKU MAHKOTA JOHOR TELADAN ORANG MUDA JOHOR


Ka Kai Fong pemenang Johan Kategori Individu Lelaki bagi Anugerah Perdana Belia Negara Peringkat Negeri Johor Tahun 2023. | Foto MDJ: Wira Anggara

 

Karisma kepimpinan dan sifat kasih DYAM Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim dalam memacu pembangunan belia menjadi ikutan serta teladan kepada golongan berkenaan di negeri ini.

 

“Kita anak-anak Bangsa Johor sangat bertuah kerana kita ada Tunku Mahkota Johor sebagai penaung dan baginda juga sangat sayangkan kita. Seharusnya kita mencontohi baginda dan menyemarakkan sifat sayang terhadap Negeri Johor, ” ujar Ka Kai Fong, 33, Johan Kategori Individu Lelaki bagi Anugerah Perdana Belia Negara Peringkat Negeri Johor Tahun 2023.

 

Beliau turut berkongsi pengalamannya yang telah menceburi Program Pembangunan Belia sejak berada di bangku sekolah dan masih aktif sehingga hari ini. Kai Fong juga merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri atas sumbangan yang telah diberikan dalam pelbagai bentuk.

 

“Saya juga berharap golongan belia di Negeri Johor dapat menjadi penyelesaian kepada masalah serta cabaran masa kini selain menggunakan kepakaran masing-masing untuk menganjurkan program atau inisiatif yang dapat menyelesaikan masalah di negeri ini,” tambah beliau.

Bagi Nur Farhana Simin, 32, yang telah mula menjadi sukarelawan sejak tahun 2009 pula menyifatkan masa depan dan kebajikan belia Negeri Johor sentiasa terbela di bawah naungan DYMM Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar dan DYAM Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim.

 

“Saya berharap setiap belia yang ada di Negeri Johor dapat memanfaatkan aktiviti yang diadakan oleh setiap persatuan terutamanya aktiviti kesukarelawan dan sentiasa bergerak aktif dengan belia-belia lain seiring aspirasi Kerajaan Negeri Johor,” katanya.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor