UEM SUNRISE DAN GUOCOLAND METERAI JALINAN KERJASAMA STRATEGIK

UEM Sunrise Berhad menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan kumpulan hartanah berpangkalan di Singapura, GuocoLand Ltd. | Foto MDJ Wira Anggara
#IskandarPuteri – Pemaju hartanah terkemuka negara, UEM Sunrise Berhad menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan kumpulan hartanah berpangkalan di Singapura, GuocoLand Ltd. bagi memacu pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan mengukuhkan kedudukan Iskandar Puteri sebagai hab ekonomi utama.
Perjanjian MoU untuk pembangunan bersama bank tanah pegangan bebas terpilih UEM Sunrise di Iskandar Puteri itu ditandatangani oleh YBrs. Encik Hafizuddin Sulaiman, Pegawai Bertanggungjawab dan Ketua Pegawai Kewangan UEM Sunrise serta YBrs. Encik Cheng Hsing Yao, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, GuocoLand Ltd. disaksikan oleh YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor.
Sebagai sebahagian daripada jalinan kerjasama strategik tersebut, kedua-dua pemaju akan bersama meninjau dan mengaktifkan potensi Iskandar Puteri seterusnya meningkatkan daya tarikan pelaburan dengan memberi tumpuan kepada meningkatkan ketersambungan, memupuk pembangunan bakat, mewujudkan ekosistem mesra perniagaan dan bertindak sebagai penggerak untuk manfaat ekonomi mampan di Johor mahupun negara ini.
Selain itu, MoU berkenaan meliputi bidang tanah terpilih UEM Sunrise di Gerbang Nusajaya dan Puteri Harbour yang merupakan dua pelan induk utama dalam Iskandar Puteri didukung kepakaran kedua-dua pemaju pembangunan hartanah itu bakal membuka peluang baharu dan menyumbang kepada aspirasi ekonomi negeri ini.
Dalam majlis sama, turut berlangsung perasmian pembukaan Galeri UEM Sunrise Iskandar Puteri yang menyerlahkan visi syarikat pemaju berkenaan mengenai pembangunan Iskandar Puteri melibatkan pelan induk baharu untuk Gerbang Nusajaya termasuk taman perindustrian masa hadapan dan pembangunan persimpangan baharu.
Turut hadir, YB Tuan Lee Ting Han, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Johor; YB Dato’ Ir. Hasni Mohammad, Penasihat Ekonomi Negeri Johor; YBhg. Encik Ahmad Nazir Mohd Nasir, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Iskandar Puteri; YBhg. Encik Mohd Masni Wakiman, Pegawai Daerah Johor Bahru; YBrs. Encik Ng Kuan Khai, Konsul Jeneral Singapura di Johor Bahru serta YBrs. Datuk Hisham Hamdan, Pengerusi UEM Sunrise.
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor