UMP PERMUDAH URUSAN DAPATKAN UBAT SUSULAN BANGSA JOHOR

Sehingga April 2026, Kerajaan Negeri telah menanggung kos penghantaran RM2.16 juta bagi 363,662 parcel ubat yang memberi manfaat kepada 73,967 pesakit. | Foto arkib MDJ
#IskandarPuteri – Komitmen Kerajaan Johor dalam memperkukuh penyampaian perkhidmatan kesihatan terus diterjemahkan menerusi pelaksanaan inisiatif Perkhidmatan Ubat Melalui Pos (UMP) yang bukan sahaja dilakukan secara percuma, tetapi pada masa sama dapat memudahkan Bangsa Johor mendapatkan bekalan ubat susulan tanpa perlu hadir ke fasiliti kesihatan.
Buktinya dapat dilihat menerusi statistik semasa apabila sehingga April 2026 lalu, seramai 73,967 pesakit telah menerima manfaat menerusi penghantaran 363,662 parcel ubat yang membabitkan kos penghantaran berjumlah RM2.16 juta di mana ia telah ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri.
Pelaksanaan inisiatif itu turut menunjukkan perkembangan memberangsangkan apabila jumlah fasiliti yang menawarkan perkhidmatan UMP terus meningkat daripada 70 fasiliti pada Ogos 2024 kepada 111 fasiliti setakat April tahun ini.
Bagi Wah Yap Peng, 55, kemudahan UMP telah memberi perubahan besar terhadap urusan mendapatkan bekalan ubat susulan apabila proses penghantaran terus ke rumah mengikut jadual bukan sahaja menjimatkan masa, malah mengurangkan keperluan dirinya untuk hadir ke hospital semata-mata hanya untuk mengambil ubat.
Sementara itu, Nadiah Abdul Rahman, 40, juga menyifatkan inisiatif UMP ini sebagai antara inisiatif yang memberi manfaat besar kepada rakyat, khususnya pesakit kronik, warga emas dan individu yang bekerja, selain berharap perkhidmatan itu dapat diteruskan agar lebih ramai Bangsa Johor dapat menikmati akses kepada perkhidmatan kesihatan yang lebih mudah, pantas dan efisien.
Sejak inisiatif ini diperkenalkan pada 1 Ogos 2024, UMP yang kini ditawarkan di semua fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Johor dengan kos penghantaran ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri tanpa mengira lokasi penghantaran di dalam Negeri Johor.
Selain itu, pendekatan yang diperkenalkan Kerajaan Johor sejak tahun 2024 kini turut dilaksanakan di peringkat nasional apabila Kerajaan Persekutuan bersetuju untuk menanggung sepenuhnya kos UMP di seluruh negara mulai Julai tahun ini.
#JohorSafeZone
#UMP
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


