VIDEO TULAR SEBENARNYA MERUJUK KAUNTER IMIGRESEN


Kenyataan Media Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Negeri Johor.

 

ISKANDAR PUTERI — Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Negeri Johor mengesahkan video ditujukan kepada pegawainya di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), dekat Gelang Patah, sebenarnya merujuk kepada kaunter Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

 

Pengarahnya, Misbahudin Parmin berkata, kejadian berlaku di ‘Bus Terminal Import’, KSAB itu telah tular melalui aplikasi perkongsian video pada Jumaat lalu.

 

“Siasatan telah dijalankan dan video yang tular sebenarnya merujuk kepada kaunter JIM bagi tujuan pemeriksaan pasport sebelum ke kawasan pemeriksaan barang JKDM.

 

“Tiada masalah dan aduan yang diterima oleh pegawai JKDM di kawasan pemeriksaan kastam, KSAB pada malam 28 April 2023, iaitu masa dan tarikh video tersebut dimuat naik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Misbahudin berkata, JKDM dan JIM merupakan dua organisasi signifikan khusus dalam mengawasi pintu keluar dan masuk negara, namun peranan utama serta tugas kedua-dua agensi penguatkuasaan adalah berbeza.

 

Ujarnya, JKDM berfungsi mengutip hasil negara, memberi fasilitasi perdagangan dan mengawal sempadan melalui integrasi masyarakat dan teknologi.

 

“Manakala JIM berperanan mengeluarkan pasport / dokumen perjalanan / visa / pas / permit, mengawal selia pergerakan keluar masuk orang di pintu-pintu masuk yang diwartakan dan menguatkuasakan akta dan perundangan yang berkaitan,” katanya.

 

Beliau memberitahu JKDM sentiasa komited dalam menyediakan perkhidmatan terbaik dan berintegriti kepada masyarakat dan pemegang taruh.

 

“Sehubungan dengan itu, orang awam dinasihatkan untuk ebrhati-hati dalam membuat sebarang kenyataan di media sosial,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor