KOMITMEN TAMBAHBAIK SISTEM DEMI KELANCARAN TRAFIK : MENTERI BESAR JOHOR


Datuk Onn Hafiz Ghazi meninjau keadaan Bangunan Sultan Iskandar (BSI) pagi tadi.

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Johor bersama Kerajaan Persekutuan terus komited dalam mengurangkan kesesakan lalu lintas di dua pintu sempadan negara di negeri ini.

 

Komitmen yang dizahirkan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi itu melibatkan usaha memperbaiki dan menambahbaik sistem sedia ada di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) serta Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB).

 

Onn Hafiz berkata, terdapat perkara dibincang dan dipersetujukan dalam mesyuarat bagi mengurangkan kesesakan di pintu sempadan negara susulan tinjauan bersama Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Ruji Ubi serta Timbalan Ketua Pengarah Imigresen (Pengurusan), Dato’ Zakaria Shaaban di BSI pagi tadi.

 

“Dari segi isu teknikal, antara perkara yang telah dibincangkan dan dipersetujui adalah pemasangan CCTV pemantauan kaunter selain projek-projek berkaitan penggabungan kaunter, ubahsuai e-gate, Automatic Land Barrier (ALB), penambahan bumbung di MBIKE serta penyelenggaraan penghawa dingin di BSI.

 

“Bagi KSAB, projek penambahan bumbung di MBIKE, penambahbaikan bumbung di dewan penumpang, mengkaji semula pemasangan penghadang jalan bagi tujuan penyuraian trafik sebelum sampai ke checkpoint, penambahbaikan papan tanda arah serta mengkaji keperluan penyediaan shuttle bas dari RnR ke KSAB bagi mengelakkan kenderaan masuk ke laluan bas,” kata beliau di Facebook rasminya, hari ini.

 

Bagi menangani isu sumber manusia di BSI dan KSAB, Onn Hafiz berkata, hasil mesyuarat bersetuju mengkaji semula waktu pertukaran syif semasa waktu puncak, menyelesaikan isu kekurangan staf imigresen serta pentadbiran seperti tuntutan elaun kerja lebih masa selain menitikberat kebajikan dengan menambahbaik ruang rehat, keselesaan kaunter.

 

Mesyuarat turut disertai Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh; Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Johor, Baharuddin Tahir; Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Johor, Ir. Abu Bakar Abd Aziz; Ketua Imigresen CIQ BSI, Adam Abu Hanipah serta Ketua Imigresen CIQ KSAB, Siti Hajar Mohamad.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor