WAQAF AN-NUR BAKAL BINA MASJID KETUJUH RANGKAIAN MASJID AN-NUR


Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi melihat cadangan reka bentuk Masjid An-Nur Bandar Tiram | Sumber Facebook Onn Hafiz Ghazi.

 

ISKANDAR PUTERI — Johor Corporation (JCorp) menerusi Waqaf An-Nur Corporation Berhad (Waqaf An-Nur) bakal membina Masjid An-Nur Bandar Tiram dengan kos keseluruhan pembinaan bernilai RM12 juta.

Selain itu, Waqaf An-Nur juga diberi tanggungjawab menguruskan masjid tersebut yang akan dibina di atas tapak seluas 1.96 ekar dan dijangka siap menjelang tahun 2024.

Pembinaan Masjid An-Nur Bandar Tiram mengambil inspirasi reka bentuk Masjid Sultan Abu Bakar dan mampu memuatkan 1,500 jemaah pada satu-satu masa.

Hadir menyempurnakan Majlis Pelancaran Tabung Pembinaan dan Pecah Tanah Masjid An-Nur Bandar Tiram adalah Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi merangkap Pengerusi JCorp, semalam.

Pada majlis berkenaan turut diadakan penyerahan replika cek sumbangan pembinaan masjid, sumbangan 200 bakul makanan kepada asnaf serta pemeriksaan kesihatan percuma oleh Klinik Bergerak Waqaf An-Nur.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp, Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim berkata, kerja pembinaan masjid ketujuh di bawah rangkaian Masjid An-Nur itu akan bermula pada awal Disember ini.

Menurutnya, Johor Land Berhad selaku agen pembangunan hartanah dan infrastruktur JCorp dilantik untuk menguruskan projek pembinaan tersebut.

“Pembinaan masjid ini dilihat sebagai keperluan utama dan menjadi tanggungjawab fardhu kifayah Waqaf An-Nur kepada masyarakat bagi menyediakan tempat sempurna menunaikan ibadah serta melaksanakan program sosial komuniti setempat secara tidak langsung membantu mengurangkan tanggungan kerajaan dari sudut kewangan dan tadbir urus masjid,” katanya.

Difahamkan, pembinaan Masjid An-Nur Bandar Tiram itu menerima sumbangan daripada Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU),
Jabatan Perdana Menteri; syarikat kumpulan JCorp seperti Kulim (Malaysia) Berhad, Johor Land Berhad dan Waqaf An-Nur serta dana yang dikumpul oleh Jawatankuasa Penduduk Bandar Tiram, orang ramai dan kariah setempat.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor