WCARE AKSES SARINGAN KESIHATAN MENYELURUH WANITA JOHOR
#JohorBahru – Program Kesedaran Kanser Reproduktif Wanita (WCaRe) Johor telah memberi manfaat kepada 8,002 wanita di negeri ini, melibatkan fi pendaftaran dan pemeriksaan klinikal tajaan Kerajaan Negeri bagi tempoh Januari hingga November tahun lalu.
Inisiatif Teras Ketiga : Jaringan Keselamatan Sosial dalam Belanjawan Johor 2024 itu diteruskan pada tahun ini apabila Kerajaan Negeri memperuntukkan RM300,000 kepada Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Negeri Johor melalui Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim (YPKDT) untuk dimanfaatkan kepada 5,600 wanita di 56 Dewan Undangan Negeri (DUN).
Program WCaRe Johor merupakan langkah proaktif dalam memastikan tiada wanita tercicir daripada menjalani saringan kanser serviks dan payudara serta menggalakkan pemeriksaan secara berkala.
Selain itu, pelaksanaan inisiatif Kerajaan Negeri turut menawarkan pembiayaan rawatan susulan ‘Liquid Based Cytology’ (LBC) kepada 200 peserta wanita terawal sekiranya keputusan saringan awal ujian ‘Human Papillomavirus’ (HPV) DNA menunjukkan keputusan abnormal.
Terdahulu, YB Puan Khairin-Nisa Ismail, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor menyempurnakan perasmian Sambutan Bulan Kesedaran Kanser Serviks Peringkat Negeri Johor Tahun 2025 di Kompleks Penyayang Kempas, hari ini.
Turut hadir, YB Tuan Ling Tian Soon, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor; YBrs. Dr. Salmi Jalina Jalil, Pengarah LPPKN Negeri Johor; YBhg. Tuan Pathmanathan R. Nalasamy, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Johor dan YBhg. Puan Izlin Idris, Pengarah Pejabat Pembangunan Wanita Negeri Johor.
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor