ZON EKONOMI KHAS DIYAKINI JADI KATALIS PACU EKONOMI JOHOR


Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menyatakan penubuhan SEZ dalam kejayaan Shenzhen, China pada tahun 1980 boleh dijadikan rujukan. | Foto ihsan MedKom

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Johor yakin inisiatif penubuhan Zon Ekonomi Khas (SEZ) Johor-Singapura bakal menjadi pemangkin bagi menggerak dan memajukan ekonomi negeri ini.

 

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, penubuhan SEZ bukan perkara baharu malah kejayaan Shenzhen, China membangunkan zon tersebut pada tahun 1980 boleh dijadikan rujukan.

 

Menurutnya, dalam tempoh masa empat dekad, Shenzhen berubah menjadi bandar metropolis antarabangsa berteknologi tinggi dengan populasi lebih 17 juta penduduk.

 

“Dalam masa hanya empat dekad, KDNK Shenzhen mencecah RMB2.42 trilion (hampir AS$300 bilion) mengatasi Hong Kong buat kali pertama pada tahun 2018. Dalam masa empat dekad, KDNK Shenzhen (2021) melepasi paras RMB3 trilion (lebih AS$400 bilion).

 

“Dalam masa hanya empat dekad, Shenzhen telah berubah menjadi bandar ketiga terbesar di China. Apa yang saya nak tekankan di sini, kalau kita membuat perancangan yang baik dan rapi, saya yakin dalam masa beberapa tahun Johor akan menjadi sebuah negeri yang paling maju Insya-Allah,” katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ketua Pengimbang Johor, Andrew Chen Kah Eng pada Mesyuarat Ketiga Bagi Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, di sini, hari ini.

 

Onn Hafiz berkata, Kerajaan Malaysia dan Singapura bersetuju mewujudkan pasukan petugas khas bagi mengkaji penubuhan SEZ pada 14 Julai lalu, malah perbincangan telah dilakukan sejak akhir tahun 2022.

 

Beliau turut memaklumkan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatnya dari Singapura, Lee Hsien Loong ketika Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura pada Oktober ini, akan membincangkan terma rujukan untuk menjayakan SEZ.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor