RM5.26 JUTA PERUNTUKAN LAKSANA 12 PROGRAM INSENTIF


Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor, Dato’ Zahari Sarip menyatakan pelbagai insentif telah disediakan bagi menggalakkan petani kekal bersaing dan berdaya maju. | Foto ihsan MedKom

 

ISKANDAR PUTERI — Sebanyak RM5.26 juta diperuntukkan bagi pemberian insentif kepada 1,185 belia untuk menyokong dan memperkasakan aktiviti pertanian dan penternakan yang diusahakan menerusi pelaksanaan 12 program, pada tahun ini.

 

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor, Dato’ Zahari Sarip berkata, jabatan dan agensi Kerajaan juga berperanan memberikan khidmat nasihat, pelaksanaan kursus atau latihan dan pembelajaran secara teknikal dan ‘hands on’.

 

Menurutnya, langkah itu bagi memupuk minat dan meningkatkan pengetahuan dan kemahiran teknikal dalam pelaksanaan aktiviti pertanian.

 

“Bagi menggalakkan petani atau usahawan muda kekal bersaing dan berdaya maju, pelbagai insentif telah disediakan kepada para belia tani dan diharap dapat membantu merancakkan pembangunan industri pertanian.

 

“Sebagaimana yang disediakan oleh Jabatan Pertanian, Jabatan Perikanan, Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan Lembaga Pertubuhan Peladang,” katanya pada Mesyuarat Ketiga Bagi Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, di sini, hari ini.

 

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri Senggarang, Mohd Yusla Ismail dan Ahli Dewan Negeri Skudai, Marina Ibrahim mengenai bantuan, insentif, program dan latihan bagi menggalakkan belia menceburi sektor pertanian secara komersial.

 

Zahari berkata, pada tahun 2023, sebanyak 188 siri kursus dan latihan pelbagai bidang telah dilaksanakan dan melibatkan 4,317 orang belia tani.

 

Selain itu, beliau turut memberitahu kerajaan giat merangka dan melaksanakan pelbagai inisiatif merentasi kementerian dan agensi bagi menggalakkan rakyat terutama belia dalam menceburi pekerjaan sektor kotor, bahaya dan sukar (3D).

 

“Antara inisiatif yang dilaksanakan adalah memperkasa peralihan industri kepada teknologi pertanian pintar dalam mewujudkan ekosistem pertanian yang menggalakkan pembinaan kapasiti, penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta penggunaan ‘Internet of Thing (IoT) yang dapat mewujudkan permintaan terhadap pekerja berkemahiran tinggi.

 

“Dalam masa sama, kebergantungan kepada pekerja asing berkemahiran rendah akan turut dikurangkan secara berperingkat,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor