10,000 PENGUNJUNG GEGAR KARNIVAL GUNUNG LEDANG & TANAH TANGKAK


Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya, K. Raven Kumar selaku wakil rasmi Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi merasmikan pembukaan kawasan rekreasi air terjun Taman Negara Gunung Ledang, tadi. | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

TANGKAK –– Pengoperasian semula kawasan rekreasi air terjun Taman Negara Gunung Ledang bermula semalam telah menarik kehadiran hampir 10,000 pengunjung.

 

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya, K. Raven Kumar, berkata Kerajaan Negeri mengalu-alukan kerinduan orang ramai untuk menikmati keindahan alam semula jadi di lokasi terkenal itu.

 

“Kemudahan-kemudahan telah pun dinaik taraf kerana Taman Negara Gunung Ledang merupakan satu destinasi pelancongan yang utama di Negeri Johor.

 

“Dibuka sejak semalam, kita telah menerima kehadiran hampir 10,000 pengunjung tetapi kita terpaksa terhadkan (kemasukan) kepada kira-kira 2,000 pengunjung sahaja pada satu-satu masa untuk tujuan keselamatan,” katanya.

 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir selaku wakil rasmi Menteri Besar Johor pada Majlis Perasmian Karnival Gunung Ledang dan Tanah Tangkak 2023 di sini, hari ini.

 

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Khairin-Nisa Ismail; Pengarah Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Johor, Dato’ Haji Ashari Haji Kasnan dan Pengarah Perbadanan Taman Negara Johor, Taufik Bahar.

 

Tambah Raven, Kerajaan Negeri juga akan menyediakan kemudahan tempat pengecasan kenderaan elektrik (EV) dan tapak caravan bagi menambah daya tarikan pelancong ke sini.

 

Sementara itu, Taufik mengingatkan orang ramai supaya menjaga kebersihan taman rekreasi berkenaan demi kelestarian dan keselesaan semua pihak.

 

“Para pengunjung juga digalakkan untuk membawa sendiri plastik sampah bagi menjaga kebersihan di kawasan rekreasi ini.

 

“Malah untuk tempoh semalam sahaja sebanyak 430 kilogram sampah yang telah dibawa keluar dari tapak rekreasi berkenaan oleh orang ramai,” tambahnya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor