12,773 SURI RUMAH TERIMA MANFAAT KSKM FASA PERTAMA


Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Khairin-Nisa Ismail | Unit Media dan Komunikasi Pejabat Menteri Besar Johor.

 

ISKANDAR PUTERI — Seramai 12,773 suri rumah dalam senarai e-Kasih di negeri ini, menerima manfaat caruman Kasih Suri Keluarga Malaysia (KSKM) Negeri Johor 2022 bagi fasa pertama.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Khairin-Nisa Ismail berkata, kesemua suri rumah terbabit menerima caruman RM60 setahun daripada kerajaan negeri.

“YPKDT telah membuat pembayaran caruman kepada KWSP (Kumpulan Simpanan Wang Pekerja) bagi fasa pertama 2022 berjumlah RM766,380 bagi caruman kepada 12,773 ahli i-Suri yang menerima manfaat caruman RM60 setahun daripada Kerajaan Negeri Johor.

“Manakala caruman bagi baki 91 peserta (suri rumah) yang layak mencarum dan belum berdaftar akan dibuat pada fasa kedua 2022. Justeru, jumlah keseluruhan sumbangan Kerajaan Negeri Johor adalah berjumlah RM771,840,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mahkota, Dato’ Sharifah Azizah Syed Zain pada katanya pada Mesyuarat Keempat (Belanjawan Johor 2023) Bagi Penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor Ke-15, hari ini.

Terdahulu, Sharifah Azizah dalam soalan lisan bertanya mengenai jumlah peserta yang layak mencarum dalam skim KSKM Negeri Johor dan jumlah peserta yang telah mencarum dalam skim tersebut.

Khairin-Nisa berkata, kerajaan negeri mengambil inisiatif memperluas faedah dan manfaat program KSKM dengan kerjasama KWSP yang dulunya merupakan Program i-Suri bagi memastikan kesejahteraan suri rumah serta mengiktiraf sumbangan kumpulan terbabit.

“Melihat kepada kepentingan dan faedah yang dapat diperolehi, justeru Kerajaan Negeri Johor melaksanakan program KSKM Negeri Johor 2022 bagi memastikan suri rumah di Negeri Johor mempunyai simpanan di hari tua,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor