419 PENERIMA MANFAAT PROGRAM GERAN PKS MAKMUR JOHOR


Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah | Unit Media dan Komunikasi Pejabat Menteri Besar Johor.

 

ISKANDAR PUTERI — Seramai 419 orang menerima manfaat daripada Program Geran PKS Makmur Johor 2022 (GOL 4.0) menerusi Perbadanan Usahawan Johor Sdn. Bhd. (PUJB) melibatkan peruntukan berjumlah RM3.5 juta, setakat ini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah berkata, program tersebut telah selesai pelaksanaannya.

Menurutnya, setiap penerima menerima bantuan geran berbentuk mesin dan peralatan dengan nilai kelulusan maksimum RM10,000.

“Program Geran PKS Makmur Johor 2022 (GOL 4.0) menerusi Perbadanan Usahawan Johor Sdn. Bhd. (PUJB) merupakan tahun keempat pelaksanaannya.

“Bagi tahun ini, program ini memberi bantuan geran berbentuk mesin dan peralatan kepada lima jenis kluster perniagaan iaitu guntingan rambut, kimpalan, pertukangan kayu, percetakan serta pemprosesan makanan dan minuman,” katanya pada Mesyuarat Keempat (Belanjawan Johor 2023) Bagi Penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor Ke-15, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tangkak, Ee Chin Li mengenai pencapaian Geran PKS Makmur Johor 2022 (GOL 4.0).

Sementara itu, menjawab soalan berasingan, Mohd Hairi yang juga ADUN Larkin memberitahu Perbadanan Usahawan Johor Sdn. Bhd. (PUJB) telah melaksanakan 11 inisiatif pemerkasaan usahawan.

Ujar beliau, antara inisiatif tersebut adalah Geran PKS Makmur Johor (GOL 4.0), Program Latihan Usahawan Johor dan penyelarasan data usahawan menerusi Pusat Data Usahawan Johor (PADU).

“Manakala YPKDT melaksanakan kursus asas kemahiran dan bantuan peralatan. Agensi persekutuan, SME Corp Malaysia melaksanakan beberapa inisiatif antaranya Business Accelerator Program (BAP 3.0).

“TEKUN memainkan peranan dan melaksanakan Skim Pembiayaan TEKUN Niaga dan Skim Pembiayaan Program TemanNita. Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) melaksanakan inisiatif seperti Skim i-Mesra, PUNB pula pembiayaan PROSPER serta PERNAS inisiatif skim pembiayaan francais,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan lisan ADUN Sedili, Muszaide Makmor mengenai bantuan dan dana telah serta akan disalurkan kepada usahawan kecil dan sederhana.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor