TINDAKAN SEGERA DIAMBIL SEJURUS TERIMA LAPORAN


Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Khairin-Nisa Ismail memaklumkan tindakan segera akan diambil sejurus menerima laporan kes penderaan pada Mesyuarat Keempat (Pembukaan Rasmi) Bagi Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor Ke-15, semalam / Sumber Foto Facebook Khairin-Nisa Ismail.

 

 

ISKANDAR PUTERI — Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan menyemak laporan atau rujukan kes penderaan kanak-kanak yang diterima bagi tindakan siasatan segera.

 

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Khairin-Nisa Ismail berkata, JKM akan menjalankan siasatan dalam tempoh 10 jam daripada laporan atau rujukan tersebut diterima, untuk mendapatkan kesahihan.

 

“Sekiranya ada unsur penderaan dan pengabaian, Pelindung, Pembantu Pelindung atau Pegawai Polis akan menyelamatkan kanak-kanak di bawah Seksyen 18, Akta Kanak-kanak 2001. Jika perlu, kanak-kanak tersebut akan dibawa untuk menerima rawatan di hospital sepanjang tempoh kanak-kanak di hospital, Jabatan Kebajikan Masyarakat akan mengenalpasti penempatan kanak-kanak selepas dikeluarkan dari hospital.

 

“Kanak-kanak tersebut juga kan dibawa ke mahkamah untuk mengambil perintah penempatan sementara di bawah Seksyen 25, Akta Kanak-Kanak 2001 dalam tempoh 24 jam. Kanak-Kanak tersebut seterusnya akan ditempatkan di Tempat Selamat seperti di Institusi Jabatan Kebajikan Masyarakat atau bersama Orang Yang Layak dan Sesuai (OYLS) dalam suatu tempoh yang akan ditentukan oleh majistret (mahkamah),” katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan ADUN Penawar, Fauziah Misri mengenai tindakan susulan diambil kerajaan selepas menerima laporan berhubung penderaan kanak-kanak, pada Mesyuarat Keempat (Pembukaan Rasmi) Bagi Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor Ke-15, semalam.

 

Khairin-Nisa berkata, siasatan dan penyediaan laporan seterusnya disediakan oleh Pelindung bagi kes penderaan dan pengabaian kanak-kanak terlibat.

 

Ujar beliau, JKM turut akan mendapatkan Perintah Tetap dari Mahkamah Bagi Kanak-Kanak untuk penempatan tetap kanak-kanak tersebut.

 

“Bagi terus menjaga keselamatan kanak-kanak tersebut, pemantauan akan dijalankan oleh pelindung yang dipertanggungjawabkan. Tindakan kepada pelaku juga akan diambil oleh pihak Polis Diraja Malaysia jika terdapat sebarang pendakwaan terhadap mereka,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor