2 PENYELESAIAN JANGKA PENDEK ATASI KESESAKAN LEBUHRAYA SENAI-SKUDAI


Menteri Besar Johor membuat lawatan ke Jalan Skudai dan Jalan Senai Underpass bersama Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh di hadapan pusat membeli-belah Paradigm Mall, JB. | Foto ihsan Facebook Onn Hafiz Ghazi

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Negeri mengenal pasti penyelesaian jangka pendek untuk dilaksanakan bagi mengurangkan masalah kesesakan aliran trafik sering berlaku di Lebuhraya Senai-Skudai terutama di hadapan pusat membeli belah Paradigm Mall JB.

 

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, dua penyelesaian tersebut adalah dengan bantuan polis semasa waktu puncak serta penambahbaikan jalan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).

 

“Bagi mengurangkan masalah tersebut, Kerajaan Negeri telah mengenalpasti penyelesaian jangka masa pendek yang boleh dilaksanakan iaitu pertama, bantuan polis trafik bagi mengawal dan melancarkan aliran trafik semasa waktu puncak.

 

“Kedua, pihak JKR akan melakukan penambahbaikan jalan seperti penjajaran jalan, ‘flexible post’, garisan jalan, ‘road stud’ dan papan tanda jalan,” kata beliau dalam Facebook rasminya, pada Isnin.

 

Terdahulu, Menteri Besar Johor membuat lawatan ke Jalan Skudai dan Jalan Senai Underpass bersama Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh.

 

Onn Hafiz berkata, Jalan Senai Underpass dijangka siap dan dibuka semula selewat-lewatnya pada Jumaat ini, seminggu lebih awal dari tarikh jangkaan.

 

“Saya faham banyak lagi jalan-jalan yang memerlukan penambahbaikan dan penyelenggaraan. Seperti yang saya maklumkan sebelum ini, saya telah mengarahkan pihak JKR dan syarikat konsesi untuk mempercepatkan pembaikan jalan di beberapa ‘hotspot’ bagi memastikan jalan raya yang lebih selamat dan selesa buat pengguna,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor