BATAL LESEN SERTA MERTA JIKA BERI LESEN KEPADA ‘ORANG KETIGA’


Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Dato’ Mohd Jafni Md Shukor yang turut mengarahkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk mengambil tindakan serta merta sekiranya perkara seumpama itu didapati berlaku. | Foto MDJ, Saufi Razale

 

KLUANG — Kerajaan Negeri Johor tidak teragak-agak untuk membatalkan lesen milik penjaja atau peniaga yang didapati membenarkan lesen perniagaan mereka digunakan oleh pihak ketiga, termasuk warga asing untuk menjalankan bisnes mereka.

 

Peringatan tegas itu diberikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Dato’ Mohd Jafni Md Shukor yang turut mengarahkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk mengambil tindakan serta merta sekiranya perkara seumpama itu didapati berlaku.

 

“PBT akan membatalkan (lesen) dengan serta merta sekiranya peniaga didapati tidak berniaga secara sendiri, tetapi sebaliknya membenarkan orang lain termasuk warga asing menggunakan lesen milik mereka untuk berniaga di negeri ini.

 

“Kita juga tidak pernah mengeluarkan lesen perniagaan kepada warga asing dan jika ada, itu memang salah. PBT akan (diarahkan) ambil tindakan tegas dengan menarik balik lesen perniagaan penjaja yang diberikan,” katanya.

 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Program Pemerkasaan Sektor Pelesenan PBT Negeri Johor di Dewan Tunku Ibrahim Ismail, di sini, semalam.

 

Mohd Jafni juga meminta kerjasama warga tempatan khususnya para penjaja di Johor untuk tidak sewenang-wenangnya menyerahkan perniagaan mereka kepada warga asing.

 

“Dari segi penguatkuasaan, memang ada PBT mengesan kes warga asing menjual ikan pada harga yang murah (sehingga) boleh menjejaskan pendapatan (peniaga) warga tempatan.

 

“Jadi bila harga terlalu murah, orang tempatan terpaksa letak harga tinggi dan akhirnya pendapatan mereka boleh terjejas,” tambahnya.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor