204 PENCARI KERJA DITAWARKAN PEKERJAAN


Antara pengunjung yang hadir ke Mega Gerak Kerjaya MYFutureJobs Johor 2023. | Foto ihsan Facebook Unit Strategik Modal Insan

 

ISKANDAR PUTERI — Mega Gerak Kerjaya MYFutureJobs Johor 2023 merekodkan kehadiran lebih 5,000 pengunjung terutama pencari kerja dari dalam mahupun luar negeri ini.

 

Program anjuran Kerajaan Negeri menerusi Unit Strategik Modal Insan (SMI) Johor berlangsung di Stadium Tertutup Arena Larkin, Johor Bahru itu menyaksikan 204 pemohon menerima tawaran kerja selepas menghadiri temu duga terbuka.

 

Unit SMI Johor dalam satu kenyataan juga memaklumkan sejumlah 2,449 pencari kerja turut menerima tawaran bagi panggilan temu duga kali kedua.

 

“Sehingga jam 5 petang pada 16 Julai 2023, jumlah permohonan yang diterima adalah sebanyak 5,727. Manakala, 3,764 pemohon telah ditemu duga. Jumlah ini sangat memberangsangkan dan melebihi jangkaan,” jelas kenyataan berkenaan, pada Isnin.

 

Unit SMI Johor berkata, program berkenaan merupakan kerjasama dengan rakan strategik iaitu Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Johor Petroleum Development Corporation Berhad (JPDC).

 

“Lebih 2,000 peluang pekerjaan daripada 33 majikan telah ditawarkan pada program ini. Antara majikan yang telah mengambil bahagian adalah Malaysia Marine & Heavy Engineering Sdn. Bhd. (MMHE), Johor Plantation Berhad, Hospital Pakar KPJ Johor, Pos Malaysia, Malaysia Automative Robotics and IOT Institute (MARii) dan banyak lagi syarikat daripada pelbagai sektor dan industri.

 

“Selain daripada temu duga terbuka, pelbagai pengisian interaktif diadakan bersempena dengan program kerjaya ini antaranya pameran agensi kerajaan, jualan kendera saji dan stesen kopi,” jelas Unit SMI Johor.

 

Terdahulu, Mega Gerak Kerjaya MYFutureJobs Johor 2023 telah disempurnakan perasmiannya oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh selaku wakil rasmi Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor