INISIATIF EKMLTK HARGAI GURU SAKJ BERTUGAS DI PEDALAMAN


Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid merasmikan Majlis Sambutan Hari Guru Agama Negeri Johor 2023 di Dewan Raya Bukit Indah. | Foto MDJ Ezzaty Ameera Nordin

 

JOHOR BAHRU — Kerajaan Negeri Johor mengambil inisiatif meluluskan Elaun Khas Mengikut Lokasi dan Tahap Kesusahan (EKMLTK) yang baharu bagi menghargai kesusahan yang dihadapi guru Sekolah Agama Kerajaan Johor (SAKJ) yang bertugas di kawasan pedalaman.

 

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata kadar elaun baharu (EKMLTK) itu juga turut meluaskan kawasan sekolah yang layak dibayar menerusi inisiatif skim elaun berkenaan.

 

Katanya, elaun ini akan dibayar dengan pecahan tiga zon baharu iaitu Pedalaman 1 sebanyak RM500; Pedalaman 2 (RM1,000) dan Pedalaman 3 (RM1,500).

 

“Bagi lokaliti Pedalaman 1, ia meliputi Sekolah Agama (SA) Ladang Mutiara, Kluang; SA Tanjung Surat, Kota Tinggi dan SA Ladang Mutiara, Segamat. Bagi lokaliti Pedalaman 2 pula ia membabitkan SA Pulau Sibu dan SA Pulau Tinggi yang masing-masing terletak di daerah Mersing.

 

“Bagi lokaliti Pedalaman 3 pula ia melibatkan SA Pulau Pemanggil dan SA Pulau Aur yang juga terletak di daerah Mersing,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Guru Agama Negeri Johor 2023 di Dewan Raya Bukit Indah di sini, hari ini.

 

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid. Hadir sama ialah Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), Jamaludin A Hamid.

 

Pada majlis itu, Tokoh Guru Sekolah Menengah Agama Negeri Johor dianugerahkan kepada Ahmad Paiman manakala Tokoh Guru Lelaki SAKJ diberikan kepada Allahyarham Ramli Bandahara dan Tokoh Guru Wanita SAKJ pula disandang oleh Jamaliah Aman.

 

Onn Hafiz berkata, pihaknya berharap menerusi inisiatif yang disediakan oleh Kerajaan Negeri ini akan dapat meningkatkan lagi kelestarian SAKJ dalam memberikan persekitaran sekolah yang kondusif kepada murid dan guru.

 

“Pihak Kerajaan Negeri juga sentiasa mengharapkan guru dan pihak sekolah termasuk Bahagian Pendidikan Islam JAINJ mencari jalan serta perancangan untuk memastikan kecemerlangan murid SAKJ terutama dalam peperiksaan Sijil Darjah Khas Agama dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM),” katanya.

 

Beliau berkata, Kerajaan Negeri Johor juga menyokong langkah yang diambil oleh JAINJ dalam memperkenalkan kaedah Pembelajaran Abad Ke-21 (PAK 21) di SAKJ dan juga penggunaan aplikasi Jpid II Al-Bayen dalam pengurusan sekolah serta proses pengajaran dan pembelajaran (PdP).

 

“Kerajaan melihat ianya sebagai satu medium pengurusan dan PdP yang menyokong proses digitalisasi pendidikan pada masa hadapan.

 

“Ia dilihat sebagai suatu anjakan yang akan membentuk generasi yang lebih maju dalam menghadapi proses pembelajaran dan kemajuan dunia,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor