22 INISIATIF SELAMI DENYUT NADI RAKYAT

Pelaksanaan 22 inisiatif Bantuan Kasih Johor (BKJ) Fasa Keempat dengan peruntukan berjumlah RM138 juta memberi kelegaan dan sinar baharu kepada rakyat negeri ini, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam membela kebajikan masyarakat pelbagai lapisan menerusi bantuan yang menyeluruh dan menepati keperluan rakyat. | Foto arkib MDJ
#JohorBahru – Pelbagai lapisan masyarakat di negeri ini menarik nafas lega dan amat bersyukur apabila Kerajaan Negeri mengumumkan pelaksanaan 22 inisiatif Bantuan Kasih Johor (BKJ) Fasa Keempat, sekali gus membantu membela nasib rakyat.
Pengumuman BKJ dengan nilai peruntukan sebanyak RM138 juta itu turut menjadi kesinambungan terhadap inisiatif bantuan seumpama itu yang turut disifatkan bukan sahaja menyeluruh, tetapi juga berjaya menyelami denyut nadi rakyat pelbagai peringkat.
Bagi Rosnani Mansur, 66, yang juga seorang ibu tunggal menyifatkan bantuan i-Pesona di bawah Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim (YPKDT) sedikit sebanyak telah meringankan beban keluarganya untuk membeli barangan keperluan termasuk barang dapur, ubat-ubatan dan sebagainya, terutama semasa ketidaktentuan ekonomi pada masa ini.
Beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor kerana pelaksanaan inisiatif tersebut amat membantu golongan sepertinya dan para ibu tunggal yang lain bagi memastikan kelangsungan hidup yang lebih terjamin, selain memuji kepimpinan beliau dalam mengurus pentadbiran Kerajaan Johor.
Sementara itu, Mohd Syahril Mohd Judda, 31, memberitahu inisiatif bantuan BKJ bagi kategori pemandu E-hailing disifatkannya sebagai tanda keprihatinan Kerajaan Johor dalam menyantuni kebajikan pemandu seperti dirinya.
Katanya, bantuan BKJ yang disediakan oleh Kerajaan Negeri ini sememangnya amat bermakna untuk dirinya dan juga pemandu lain yang turut sama berdepan dengan kos sara hidup yang semakin meningkat, apatah perlu menanggung kos operasi kenderaan yang agak tinggi demi mencari rezeki yang halal untuk keluarganya.
Justeru, beliau juga berharap agar inisiatif seperti ini akan dapat diteruskan serta ditambah baik dari semasa ke semasa dengan memperkenalkan lebih banyak sokongan lain seperti subsidi petrol, insentif penyelenggaraan kenderaan dan perlindungan sosial yang lebih menyeluruh bagi memastikan kebajikan pemandu E-hailing terus terjamin untuk suatu tempoh jangka masa panjang.
Bagi Nor Afiq Nor Azri, 28, pula menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri atas inisiatif perumahan yang telah banyak membantu Bangsa Johor seperti dirinya untuk memiliki kediaman sendiri berbanding sebelum ini hanya sekadar mampu menyewa dengan bayaran sewa yang agak tinggi mutakhir ini.
Ujarnya, pengenalan beberapa inisiatif seperti Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) serta pelbagai bantuan yang disediakan oleh Kerajaan Negeri disifatkan telah berjaya memberi impak besar kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana. Selain itu, beberapa langkah proaktif yang dilaksanakan oleh Kerajaan Johor juga telah memberikan impak positif dari segi pembangunan dan ekonomi yang menyeluruh, sekali gus menjadi asas kepada kemajuan negeri dan kesejahteraan rakyat.
#JohorSafeZone
#BKJ
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



