224 INISIATIF MAJU JOHOR SUDAH DILAKSANAKAN


Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dengan Ahli Dewan Negeri Johor bersama Buku Laporan Maju Johor Edisi 2022-2023.

 

ISKANDAR PUTERI — Sebanyak 224 inisiatif di bawah enam teras Agenda Maju Johor telah dilaksanakan sepanjang setahun, kata Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

 

Bagaimanapun, beliau berkata, masih banyak perkara perlu dilakukan oleh pentadbiran kerajaan negeri demi kesejahteraan rakyat.

 

“Walaupun banyak perkara dan inisiatif yang telah dilaksanakan dalam masa setahun ini, namun saya sedar dan insaf bahawa masih banyak lagi perkara yang perlu dibuat demi kesejahteraan Bangsa Johor.

 

“Insha Allah, saya bersama barisan EXCO dengan sokongan penjawat awam, akan memastikan negeri ini terus berada di atas landasan yang terbaik dari setiap segenap aspek dan perkara,” katanya.

 

Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan Mesyuarat Keempat (Pembukaan Rasmi) Bagi Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor Ke-15, hari ini.

 

Onn Hafiz turut berkongsi pencapaian dikecapi sepanjang tempoh setahun perkhidmatannya dan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor bersama Ahli-Ahli Dewan Negeri Johor menerusi Buku Laporan Maju Johor Edisi 2022-2023.

 

Ujarnya, segala pencapaian dikecapi sepanjang setahun tidak mungkin dapat dicapai tanpa sokongan, dorongan dan usaha semua pihak demi kesejahteraan, kemajuan dan kemakmuran negeri dan Bangsa Johor.

 

“Suka sekali lagi kongsikan, visi Maju Johor 2030 di mana Johor bukan sahaja perlu maju dari segi ekonomi dan infrastrukturnya – malah seluruh Johor mestilah maju secara holistik.

 

“Rakyatnya juga perlu maju dari sehi pemikiran, peradaban, ketamadunan, ilmu, perwatakan, adat resam, nilai-nilai murni, jati diri dan sahsiah modal insannya. ‘Johor Mesti Jadi Johor’,” katanya.

 

Agenda Maju Johor ditunjangi enam teras iaitu urus tadbir kerajaan, pembangunan ekonomi, jaringan keselamatan sosial, kemudahan dan keperluan asas, keselamatan kebersihan dan kelestarian alam sekitar serta Orang Muda Johor.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor