JOHOR TUBUHKAN JAWATANKUASA PERUBAHAN IKLIM & PENGURUSAN BENCANA


Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi membawa rundingan cadangan penubuhan Jawatankuasa Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Johor, hari ini | Sumber foto MedKom.

 

ISKANDAR PUTERI — Dewan Negeri Johor, hari ini, meluluskan rundingan cadangan penubuhan Jawatankuasa Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Johor.

 

Timbalan Speaker Dewan Negeri Johor, Datuk Samsolbari Jamali mengumumkan rundingan cadangan itu diluluskan dengan sebulat suara.

 

Terdahulu, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi ketika membentangkan rundingan cadangan berkenaan berkata, jawatankuasa itu terdiri daripada 14 Ahli Dewan Negeri termasuk seorang pengerusi.

 

Ujarnya, kuorum bagi jawatankuasa itu adalah seramai tujuh orang termasuk pengerusi.

 

Beliau memaklumkan jawatankuasa tersebut dipengerusikan oleh ADUN Pemanis, Anuar Abd. Manap dan dibarisi ahli jawatankuasa terdiri ADUN Kukup, Datuk Jefridin Atan; ADUN Sri Medan, Dato’ Zulkurnain Kamisan; ADUN Parit Raja, Nor Rashidah Ramli; ADUN Bekok, Tan Chong.

 

Selain itu, ADUN Sungai Balang, Selamat Takim; ADUN Penawar, Fauziah Misri; ADUN Parit Yaani, Datuk Mohamad Najib Samuri; ADUN Stulang, Chen Kah Eng; ADUN Penggaram, Gan Peck Cheng; ADUN Puteri Wangsa, Amira Aisya Abd Aziz; ADUN Johor Jaya, Liow Cai Tung; ADUN Endau, Alwiyah Talib serta Pegawai Kewangan Negeri selain Jurutulis Dewan Negeri sebagai setiausaha.

 

Onn Hafiz berkata, jawatankuasa itu akan menjalankan fungsi antaranya meneliti undang-undang dan peraturan-peraturan berkaitan perubahan iklum dan pengurusan bencana.

 

“(Selain itu) mengkaji inisiatif-inisiatif yang diambil dalam menangani perubahan iklim; mengkaji keberkesanan proses dan langkah-langkah mitigasi banjir yang diambil di peringkat daerah dan negeri secara holistik; mengkaji alternatif lain dalam menangani isu banjir kilat, banjir termenung dan banjir yang kerap berulang di satu-satu kawasan sekiranya berlaku hujan lebat yang berpanjangan.

 

“(Fungsi jawatankuasa juga) mengkaji penyelesaian yang boleh diambil bagi meminimakan kerosakan harta benda dan infrastruktur akibat banjir merangkumi cadangan penempatan semula pendudik dan sebagainya; serta mencadangkan penambahbaikan yang boleh diambil oleh jabatan dan agensi berkaitan dalam menangani impak perubahan iklim dan banjir,” katanya.

 

Beliau turut memberitahu jawatankuasa itu diberi kuasa oleh Dewan Negeri Johor untuk memanggil mana-mana pihak yang mempunyai kepakaran dan kemahiran dari masa ke masa bagi maksud penelitian dan kajian terhadap apa-apa berkaitan perubahan iklim dan pengurusan bencana.

 

“Jawatankuasa pilihan ini juga hendaklah menyiapkan dan membentangkan penyata jawatankuasa yang mengandungi syor-syor berkaitan untuk dipersetujukan atau mengikut apa-apa cara yang diperintah oleh Dewan Negeri Johor,” katanya.

 

Rundingan cadangan tersebut kemudiannya disokong Ketua Pengimbang Dewan Negeri Johor, Chen Kah Eng yang juga ADUN Stulang sebelum dibahas oleh ADUN Kukup, Datuk Jefridin Atan.

 

Pada 19 Mac lalu, Menteri Besar Johor membawa cadangan penubuhan Jawatankuasa Perubahan Iklim dan Pengurusan Banjir oleh Dewan Negeri Johor bagi menangani isu perubahan iklim terutama di negeri ini.

 

Jawatankuasa dibarisi Ahli-Ahli Dewan Negeri merentasi parti politik itu dicadangkan susulan titah peringatan DYMM Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar berkait rapat dengan misi kerajaan negeri untuk mencari langkah yang efektif bagi menangani isu perubahan iklim.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor