27 TANGKI SIMPANAN AIR DI 24 LOKASI TERJEJAS


Kerja baik pulih paip air sedang giat dilaksanakan pihak Ranhill SAJ di Pasir Gudang / Foto Ihsan Fazli Salleh.


ISKANDAR PUTERI —
Sebanyak 27 tangki simpanan air berkapasiti 400 hingga 500 gelen disediakan di 24 lokasi terjejas bekalan air di sekitar Pasir Gudang.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Ir Ts Mohamad Fazli Mohamad Salleh, berkata selain itu sembilan lagi tangki simpanan air akan turut dihantar ke lokasi berkenaan.

“Jumlah ‘filling point’ juga sudah ditambah kepada enam unit bagi memaksimumkan bilangan penghantaran bekalan air oleh lori tangki.

“Sebanyak lima lori tangki air yang disewa daripada pihak swasta akan dikerah ke kawasan kritikal seperti hospital dan premis kerajaan,” katanya dalam hantaran di laman Facebook rasminya.

Mohamad Fazli berkata, kerja baik pulih paip air di Seri Alam juga diteruskan pagi ini dengan operasi mengepam air sedang giat dilaksanakan selepas ia ditangguhkan semalam berikutan hujan lebat.

“Selain proses pengepaman air keluar, pihak berwajib turut melakukan kerja-kerja mengukuhkan cerun (bagi mengelakan kejadian runtuhan berulang).

“Proses ini dibuat secara teliti bagi mengelakan sebarang kemungkinan kejadian tidak diingini kerana lokasi berkenaan terletak berhampiran dengan kawasan perumahan penduduk,” katanya.

Justeru itu, beliau memohon seluruh Bangsa Johor mendoakan keadaan cuaca yang baik supaya kerja baik pulih ini dapat dilakukan pada kadar segera demi kesejahteraan bersama.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor