28,500 PELEKAT MBIKE DI BSI, KSAB


Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Ir. Ts, Mohamad Fazli Mohamad Salleh memaklumkan sebanyak 28,500 pelekat MBIKE mula diagihkan minggu lalu / Sumber Gambar Facebook Fazli Salleh.

 

ISKANDAR PUTERI — Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sudah menerima 28,500 unit pelekat Malaysia Biometric Indetification of Motorbikers (MBIKE) dan mula mengagihkannya mulai Khamis lalu.

 

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh, berkata inisiatif itu secara tidak langsung diharapkan akan dapat melancarkan pergerakan keluar masuk membabitkan penunggang motosikal di sempadan Malaysia-Singapura.

 

“Sebanyak 17,000 unit diagihkan di Kompleks Kuarantin, Imigresen dan Kastam (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan selebihnya 11,500 unit diagihkan di Kompleks CIQ Bangunan Sultan Abu Bakar (KSAB).

 

“Bagi mereka yang ingin mendapatkan pelekat MBIKE tersebut bolehlah ke kaunter Unit Kawalan Operasi yang terletak berhampiran laluan motosikal arah masuk ke Malaysia di BSI dan KSAB,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook rasminya.

 

Mohamad Fazli berkata, sehingga semalam, sebanyak 3,432 unit pelekat terbabit sudah diagihkan kepada penunggang motosikal di BSI manakala di KSAB memperlihatkan pengagihan yang sedikit perlahan iaitu sebanyak 915 unit.

 

Pada Rabu lalu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi melakukan lawatan mengejut CIQ BSI dan susulan itu beliau turut melakukan pertemuan dengan Pengarah JIM Johor, Baharuddin Tahir dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Johor, Abu Bakar Abd Aziz yang membincangkan pelbagai perkara berkaitan isu di CIQ termasuk MBIKE.

 

Untuk rekod, MBIKE adalah sistem automasi pemeriksaan komprehensif yang dibangunkan khusus bagi penunggang dan pembonceng motosikal yang berdaftar dengan sistem berkenaan.

 

Sistem ini dapat mempercepatkan proses kemasukan data, pemeriksaan, pengesanan senarai syak dan pada masa sama memberikan kemudahan perjalanan yang efisyen kepada pengguna MBIKE.

 

Sistem MBIKE ini telah mula beroperasi sejak November 2016 dan layak digunakan oleh warganegara Malaysia yang berdaftar.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor