TERUSKAN MENDERMA DARAH KETIKA RAMADAN


Orang ramai diseru dan digalakkan untuk terus menderma darah terutama ketika bulan Ramadan.

 

ISKANDAR PUTERI — Jabatan Perubatan Transfusi Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru (HSAJB) menyeru orang ramai untuk terus menderma darah terutama ketika bulan Ramadan.

 

Seruan tersebut memandangkan bekalan stok darah di negeri ini, perlu sentiasa mencukupi bagi menampung keperluan prosedur transfusi darah seperti kes kemalangan, pembedahan dan juga rutin seperti pesakit talasemia.

 

 

Ketua Jabatan Perubatan Transfusi HSAJB, Dr. Mohamad Mizan Gusari berkata, HSAJB akan turut terkesan akibat kekurangan bekalan darah pada bulan puasa.

 

Menurutnya, mengikut data tahun lalu, sebanyak 25 peratus penurunan jumlah kutipan darah berlaku menjelang bulan Ramadan.

 

“Justeru itu, melalui kempen pendermaan darah anjuran HSAJB semasa bulan Ramadan, kami berharap agar ramai penderma darah tampil hadir menderma darah.

 

“Kami memerlukan semua penderma-penderma darah konsisten dan penmderma darah yang baharu untuk tampil hadir menderma darah kepada kami bagi membantu pihak hospital mengatasi masalah kekurangan bekalan darah,” katanya.

 

Bekalan stok darah perlu sentiasa mencukupi bagi menampung keperluan prosedur transfusi darah.

 

 

Untuk rekod, Jabatan Perubatan Transfusi HSAJB bukan sahaja membekalkan darah kepada pesakit di hospital tersebut.

 

Malah turut membekalkan darah kepada empat buah hospital minor di negeri ini, dan 20 buah hospital swasta yang mempunyai perjanjian pembekalan.

 

Orang ramai terutama penderma darah sedia ada dan baharu boleh tampil menderma darah di Pusat Pendermaan Darah HSAJB di Jalan Mahmoodiah, Johor Bahru Blood Donation Suite, The Mall Mid Valley Southkey atau kempen derma darah bergerak di seluruh negeri ini.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor