KERAJAAN NEGERI CADANG HDC DITEMPATKAN DI JOHOR


Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi hadir ke Mesyuarat Majlis Pembangunan Industri Halal (MPIH) kali pertama bagi tahun 2023, baru-baru ini / Sumber Foto Facebook Onn Hafiz Ghazi.

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Johor mencadangkan agar Halal Development Corporation Bhd. (HDC) ditempatkan di negeri ini, berdasarkan pelbagai faktor.

 

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, cadangan itu dikemukakan selepas mengambil kira faktor pembangunan dan pelaburan pesat sehingga merekodkan RM70.6 bilion pada tahun lalu.

 

Menurutnya, seperti yang pernah dinyatakan sebelum ini, potensi pelaburan dan industri halal amat besar, berdasaran jumlah umat Islam sekitar 1.9 bilion di seluruh dunia.

 

“Untuk tahun 2021 sahaja anggaran perbelanjaan bagi pasaran halal dicatat sekitar US$2 trillion, dan sudah pasti nilai itu akan meningkat dari tahun ke tahun.

 

“Adalah menjadi tekad dan iltizam kerajaan negeri agar Johor juga dapat memainkan peranan yang signifikan dalam memajukan industri halal, bukan sahaja untuk peringkat domestik, tetapi juga untuk membawa nama Malaysia sehingga ke peringkat global,” kata beliau di Facebook rasminya.

 

Terdahulu, beliau hadir ke Mesyuarat Majlis Pembangunan Industri Halal (MPIH) kali pertama bagi tahun 2023, yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

 

Onn Hafiz berkata, kerajaan negeri turut menyambut baik kertas cadangan Halal Industrial Master Plan 2030 dibentangkan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Utama Mohd Zafrul Tengku Abdul Aziz.

 

Selain itu, beliau memaklumkan terdapat 2,222 pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM), dengan jumlah terbesar datang dari industri produk makanan, minuman, makanan tambahan serta restoran dan Premis Makanan di Johor, ketika ini.

 

“Sebanyak 130 permohonan SPHM telah dibawa ke Mesyuarat Panel Pengesahan Halal Johor (MPPHJ) 2023 Bil.01/2023, di mana sebanyak 115 telah diluluskan, 14 akan dibincangkan dalam siri mesyuarat seterusnya, manakala satu permohonan telah dibatalkan,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor