BLOK 16 TUTA JADI PROJEK RINTIS
JOHOR BAHRU — Kerajaan negeri akan menjadikan Blok 16 rumah pangsa kos rendah Taman Ungku Tun Aminah (TUTA), Johor Bahru sebagai projek rintis dalam mencari jalan penyelesaian terhadap isu perumahan strata daif di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, berkata kerajaan negeri menjunjung kasih ke atas keprihatinan DYMM Tuanku Sultan Johor terhadap teguran kualiti kebersihan dan persekitaran di kawasan terbabit demi kepentingan rakyat baginda.
Katanya, bagi tujuan itu, Kerajaan Negeri bersetuju untuk melaksanakan satu projek rintis dan memilih Blok 16 daripada keseluruhan 44 blok di kawasan perumahan strata berkenaan sebagai lokasi tumpuan utama projek berkenaan.
“Blok 16 mempunyai 72 unit dan kita terpaksa membelanjakan sebanyak RM1.8 juta dan ini bermaksud Kerajaan Negeri perlu membelanjakan sekurang-kurangnya RM25 ribu bagi setiap unit kediaman berikutan rumah lama ini telah berusia 40 tahun dan kos penyelenggaraannya menyamai kos seperti kita bina baharu”.
“Kami akan membuat penilaian berdasarkan projek rintis ini (sama ada membaik pulih) atau ada keperluan untuk roboh dan bina baharu sebagai usaha pembangunan semula di (perumahan) TUTA ini memandangkan usia flat ini sudah mencecah 40 tahun”, katanya pada Program Johor Bersih di Taman Ungku Tun Aminah, pagi ini.
Jelas beliau, pemilihan blok terbabit dilakukan selepas Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) menerusi penilaian teknikal yang dilakukan mendapati Blok 16 adalah lokasi paling terjejas di perumahan strata berkenaan.
Katanya, selain itu, blok kediaman berkenaan memerlukan kerja baik pulih membabitkan aspek pendawaian, keselamatan, pembaikan bumbung dan Kerajaan Negeri mengambil inisiatif bagi melaksanakan projek rintis ini sebagai usaha tanggungjawab sosial (CSR) Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi mengatasi isu berkenaan.
”Ini selari dengan pengumuman saya pada minggu lepas bagi menubuhkan satu ‘taskforce’ yang merangkumi wakil rakyat kawasan, Ahli Majlis PBT serta agensi kerajaan berkaitan.
“Sebenarnya, kita sudah menghantar permohonan ini (kepada menteri) dan menteri sudah umumkan RM26.6 juta itu yang juga permohonan beliau kepada Kerajaan Negeri selepas sesi mengadap bersama DYMM Tuanku Sultan tempoh hari,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya setakat ini belum lagi menerima peruntukan terbabit namun sebagai Kerajaan Negeri yang prihatin tidak boleh menunggu dan mengambil inisiatif untuk melaksanakan projek rintis ini untuk mencari solusi terbaik bagi menyelesaikan isu berkenaan.
“(Menerusi projek rintis ini) di peringkat kerajaan kita akan lihat wang yang dibelanjakan ini perlu (dilakukan) atau kita ada kaedah lain iaitu merobohkan sebahagian flat lama ini… kita bangunkan bangunan bertingkat supaya penduduk boleh dipindahkan ke penempatan baharu ini.
“Sebenarnya dari segi kos yang kita kira adalah lebih baik kita membina flat yang baharu untuk penduduk di sini berbanding kerja baik pulih yang menelan kos yang agak tinggi kerana Blok 16 sahaja (memerlukan) RM1.8 juta,” katanya.
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor