7 SEKOLAH RENDAH JUARA PELBAGAI KATEGORI IMELC 2023


Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Suria, Johor Bahru dinobatkan juara keseluruhan Kategori Sekolah Terbaik dalam acara tahunan Iskandar Malaysia Ecolife Challenge (IMELC) 2023. | Foto MDJ Wira Anggara

 

Tujuh sekolah rendah di negeri ini, diumumkan sebagai juara bagi lapan kategori dalam acara tahunan Iskandar Malaysia Ecolife Challenge (IMELC) 2023 dengan Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Suria, Johor Bahru dinobatkan juara keseluruhan Kategori Sekolah Terbaik.

 

Selain itu, SK Taman Suria turut mengungguli Kategori Minyak Masak Terpakai selepas berjaya mengumpulkan 3.57 tan minyak. Manakala SK Kampong Baharu, Pontian memenangi Kategori Khas : Sekolah Enrolmen Rendah.

 

Keputusan lain, SK Pendidikan Khas Princess Elizabeth, Johor Bahru menjuarai Kategori Khas : Sekolah Pendidikan Khas; Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pei Chih, Ulu Tiram (Kategori Jimat Air); SJKC Foon Yew 1, Johor Bahru (Kategori Jimat Tenaga).

 

Manakala SJKC Kuo Kuang 2, Johor Bahru mengungguli Kategori Kitar Semula dengan pengumpulan 33.4 tan sisa kitar semula selain Nurul Iman Rahmat dari SK Kulai, Kulai memenangi Kategori Murid dan Keluarga.

 

Keseluruhan sebanyak 58 anugerah selain 8 anugerah utama disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Negeri Johor, Norlizah Noh ketika Karnival Iskandar Puteri Rendah Karbon (IPRK), baru-baru ini.

 

IMELC yang bermula sebagai projek perintis pada tahun 2013 dengan hanya penglibatan 23 sekolah bertujuan menanam kesedaran dan pengetahuan mengenai masyarakat rendah karbon dalam kalangan murid di Iskandar Malaysia.

 

Sehingga kini, lebih 100,000 murid dari 900 sekolah rendah di negeri ini, sudah menjayakan program anjuran Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) dan Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) bersama rakan strategik.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor