PERKHIDMATAN KESIHATAN TERBAIK KEPADA BANGSA JOHOR


Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon menzahirkan penghargaannya kepada Menteri Besar, Dato’ Onn Hafiz Ghazi. | Foto arkib MDJ

 

Kerajaan Johor sentiasa memandang serius dan mengambil tindakan proaktif dalam menyediakan perkhidmatan kesihatan terbaik untuk rakyat negeri ini, meskipun sektor kesihatan merupakan bidang kuasa Kerajaan Persekutuan.

 

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon berterima kasih kepada Menteri Besar, Dato’ Onn Hafiz Ghazi atas bantuan menyelesaikan isu kesihatan dan penyediaan peruntukan negeri sepanjang tahun ini.

 

Menerusi kad laporannya, beliau berkongsikan pencapaian melibatkan sinergi Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan bagi pemerkasaan sistem perkhidmatan kesihatan Johor sepanjang tahun 2023 antaranya menaik taraf 14 klinik kesihatan dan 29 klinik desa daif melibatkan RM13.7 juta.

 

Selain itu, membaik pulih dan menaik taraf Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar (RM254,000) serta pembelian komputer bagi wad dan klinik di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru dan Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), Batu Pahat (RM146,037).

 

Usaha lain, membina ruang menunggu dan menaik taraf wad Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim (HTSMTI), Kulai (RM80,000) selain menyumbang penyejuk udara, katil lipat, lokar dan meja ‘cardiac’.

 

Di samping itu, pengoperasian bangunan baharu makmal patologi HSA dan Klinik Kesihatan Taman Ungku Tun Aminah di Johor Bahru serta Klinik Kesihatan Palong Timur, Segamat bernilai keseluruhan RM73.5 juta.

 

Begitu juga dengan pengumuman pengisian perjawatan khas, pelaksanaan kerja awalan pembinaan Hospital Sultanah Aminah 2 (HSA 2) dan penubuhan Jawatankuasa Pembangunan Kesihatan Negeri Johor.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor