MRR : SEZ JOHOR-SINGAPURA BERPOTENSI LAHIRKAN KLUSTER INDUSTRI BAHARU


Pensyarah Fakulti Pengurusan dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Dr. L. Nanthakumar menyambut baik cadangan penubuhan Zon Ekonomi Khas (SEZ) Johor-Singapura.

 

Penubuhan Zon Ekonomi Khas (SEZ) Johor-Singapura mampu menjadi pemangkin kepada usaha merealisasikan Johor sebagai sebuah negeri maju menjelang tahun 2030 dengan tawaran pelbagai inisiatif dan tindakan strategik yang berupaya menarik minat lebih banyak pelaburan ke negeri ini.

 

Pensyarah Fakulti Pengurusan dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Dr. L. Nanthakumar menyambut baik cadangan penubuhan zon khas berkenaan dan berpandangan usaha itu berupaya membangunkan kluster industri baharu bagi Johor dan Singapura sama seperti yang berlaku di SEZ India-Sri Lanka serta SEZ Shenzhen-Hong Kong.

 

“SEZ ini bukanlah sesuatu yang baharu, tetapi kita perlukan ia di kawasan selatan tanah air kerana kita ada kekuatan pelabuhan yang besar di Johor serta kekuatan sumber manusia yang mencukupi. Di bawah SEZ juga, akan ada kluster industri baharu yang boleh dihasilkan bergantung kepada kesesuaian dan perbincangan Kerajaan Johor dan Singapura untuk menubuhkan SEZ yang eksklusif,” kata beliau.

 

Nanthakumar melihat sekiranya penubuhan SEZ Johor-Singapura menjadi kenyataan kelak bakal merancakkan lagi sektor minyak dan gas di Johor khususnya melalui Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC) yang telah mencatat pelaburan sebanyak RM140 bilion sejak ia dimulakan pada tahun 2012.

 

“Pada saya, SEZ boleh dijalankan serta merta kalau kedua-dua pihak bersetuju. Sebab, kekuatan yang dimiliki oleh Johor dan Singapura agak seimbang serta hubungan erat yang telah dijalin selama ini pasti akan menjadi pemudah cara bagi menjayakan SEZ,” ujar beliau.

 

Mengulas mengenai potensi Johor menjadi seperti Shenzhen seperti yang dizahirkan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, Nanthakumar menyifatkan Shenzhen-Hong Kong dan Johor-Singapura mempunyai persamaan dari segi pemetaan serta lokasi strategik yang menjadi laluan utama perkapalan.

 

“Sejak akhir-akhir ini kita bercakap mengenai inisiatif ‘Satu Jajaran, Satu Laluan’ atau ‘One Belt, One Road’ (OBOR) yang dilaksana sejak 2013 oleh China sebagai laluan darat ke Asia Tenggara dan Johor memang berada di laluan tersebut. Johor adalah satu-satunya negeri yang ada laluan timur dan barat berbanding dengan negeri lain yang tidak ada kelebihan itu,” katanya.

 

Justeru, beliau yakin Johor boleh menerima ‘tempias’ manfaat daripada laluan OBOR sekali gus perlu segera mengambil peluang kerana selepas SEZ dilaksanakan, laluan tersebut akan menjadi lebih rancak serta memberi kelebihan kepada negeri ini.

 

“Pada saya, ini adalah masa yang sesuai untuk menjayakan inisiatif SEZ kerana Johor benar-benar berada di landasan tepat untuk menjadi perintis di Asia Tenggara kerana kita pun sudah hampir dengan pusat pentadbiran baharu Indonesia di Kalimantan,” ujar beliau lagi.

 

Tambah Nanthakumar, penubuhan Zon Ekonomi Khas (SEZ) Johor-Singapura mampu membangunkan bakat-bakat berkemahiran ke sektor berpotensi tinggi khususnya dalam pasaran tempatan selain mengelakkan berlakunya ‘brain drain’ selain berupaya menarik pelaburan asing lebih tinggi seterusnya melonjak kedudukan ekonomi negeri.

 

“Bakat-bakat yang ada khususnya di Negeri Johor tidak perlu lagi berhijrah ke negara jiran kerana mereka boleh bekerja di sini serta menyumbang kepada hasil kemajuan negeri dan negara khususnya. Saya melihat bahawa cadangan penubuhan SEZ ini ada asasnya.

 

“Ia memberi keutamaan terhadap ekonomi eksport tanpa perlu melalui banyak prosedur seperti kastam dan sebagainya kerana kita tidak terikat dengan percukaian dalam negara. Kita ada sumber manusia yang cukup bagus melintasi sempadan kita. Kebanyakkan yang bekerja di sana bukanlah pekerja berkemahiran rendah, tetapi sebaliknya berkemahiran tinggi,” katanya.

 

Malah berdasarkan dapatan kajian yang pernah dilaksanakan oleh Nanthakumar sebelum ini, kebanyakan daripada bakat tempatan ke negara jiran hanya untuk meraih pengalaman sebelum kembali ke tanah air untuk memulakan perniagaan kecil atau sederhana (SME).

 

Sementara itu, beliau menzahirkan rasa kagum terhadap DYMM Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar yang mahu Johor bertapak kukuh di persada dunia selain menekankan kepentingan prestasi ekonomi dari segi kemasukan pelaburan syarikat berteknologi tinggi.

 

“Baginda tuanku Sultan sangat mempunyai visi yang jelas dan amat menekankan soal kestabilan politik di dalam pentadbiran kerajaan kerana ia akan menarik lebih banyak pelaburan malah dari konteks ini, ia telah terbukti di Negeri Johor yang menerima pelaburan asing tertinggi pada tahun lalu.

 

“Saya lihat baginda tuanku Sultan juga rajin melontarkan pandangan yang kadang kala membuka mata orang ramai dan ini menunjukkan keprihatinannya terhadap pembangunan ekonomi. Sultan Ibrahim juga mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan Singapura,” jelas beliau.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor