MRR : PERANCANGAN, TINDAKAN YANG JELAS PENTING BAGI MENJAYAKAN SEZ, SFZ
Dasar yang jelas melibatkan persekitaran perniagaan dan perdagangan disertakan dengan insentif menarik menjadi faktor penting bagi menarik pelaburan sekali gus menjayakan Zon Ekonomi Khas (SEZ) dan Zon Kewangan Khas (SFZ).
Pengerusi Pejabat Ekonomi, Pelancongan dan Kebudayaan Johor (JETCO) di Singapura, Dato’ Ir. Hasni Mohammad berkata, elemen berkenaan juga mampu menarik pelabur dari Singapura untuk memanfaatkan kelebihan yang ada di Johor.
“Kita tidak boleh mengambil mudah (faktor kos) di Singapura mahal dan orang akan datang ke Johor. Kalau tidak dapat terjemah Johor ‘ease doing business’ sebagai kelebihan, mereka akan beralih ke negara lain.
“Kita mesti sediakan elemen-elemen yang dapat menarik pelabur untuk memilih Johor kerana Johor jauh lebih baik berbanding negara-negara lain,” jelas beliau dalam satu temubual bersama Media Digital Johor.
Mantan Menteri Besar itu memberitahu impian untuk menjadikan Johor sebagai ‘The Next Shenzhen’ menerusi SEZ mampu direalisasikan dengan visi yang jelas tentang polisi ekonomi serta penyelesaian isu melibatkan Johor dan Singapura.
“Bila kita hendak menjadi seperti Shenzhen, kita tidak boleh ada Tambak Johor yang sesak sepanjang masa. Hari ini, Menteri Besar sudah selesaikan, berjaya mengurangkan rasa gelisah rakyat dan pelancong ke Johor.
“Tapi kita harap negara jiran lakukan perkara yang sama. Hubungan baik Johor dan Singapura, aliran trafik lancar dan kefahaman dasar ekonomi dan insentif, saya percaya visi Menteri Besar mampu dijayakan,” kata beliau.
Selain itu, Hasni memberitahu hubungan istimewa yang akrab Johor dan Singapura juga akan membolehkan banyak perkara terutama isu sensitif melibatkan dua negara dapat dirungkai serta diselesaikan secara bersama.
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor