PENDUDUK PUNGGAI BANGGA JADI PENERIMA KURNIA PERTAMA SULTAN JOHOR


Kampung Punggai, Pengerang menjadi destinasi pertama kurniaan bantuan keperluan harian DYMM Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar menerusi Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ). | Foto MDJ Hafez Azhar.

 

Oleh: Badrul Kamal Zakaria, Ariff Nasseem Murad, Farhanah Haziqah Noh, Suhana Mohd Arifin dan Farhan Khair

 

Bila sebut nama Kampung Punggai, tiada siapa yang boleh mengagak dimana terletaknya perkampungan nelayan ini walaupun ia turut menjanjikan keindahan panorama tepian pantai yang menarik kerana ditenggelami oleh Desaru yang terkenal sebagai destinasi pelancongan utama di Pengerang, Johor.

 

Namun bagi penduduk Kampung Punggai ia tidak pernah menjadi masalah bagi mereka kerana mereka masih boleh berbangga apabila menjadi destinasi pertama kurniaan bantuan keperluan harian DYMM Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar menerusi Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ).

 

Menjengah kembali detik itu, penduduk kampung berkenaan, Nurshahrulnizam Nasrul memberitahu, masyarakat desa terbabit menganggap kurniaan baginda sebagai sesuatu yang mengejutkan dan pada masa sama bersyukur kerana mendapat bantuan yang diharapkan pada waktu kesulitan berikutan perintah larangan pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19.

 

“Kami semua sememangnya agak terkejut dan pada masa sama teruja dan gembira dengan kurniaan yang tidak disangka ini. Apa tidaknya, Kampung Punggai ini bukan dikenali ramai kecuali penduduk disekitar Pengerang sahaja namun menerusi kurniaan ini secara tidak langsung menjadi bukti nyata mengenai keprihatinan baginda kepada rakyatnya.

 

“Kami sememangnya menjunjung kasih atas kuniaan ini tetapi apa yang lebih membanggakan ialah Kampung Punggai ini menjadi destinasi pertama kurniaan tuanku menerusi YSIJ ini yang kemudiannya turut diperluaskan ke beberapa lokasi lain di seluruh Johor,” katanya.

 

Bercakap kepada Media Digital Johor, Nurshahrulnizam menambah, kebanggaan dan kegembiraan ini jelas terpancar pada wajah penduduk di sini yang berada dalam keadaan kesulitan akibat PKP pertama sekitar 2020 lalu apabila mendapat bantuan keperluan harian dan sumbangan wang tunai daripada Baginda Tuanku Sultan.

 

“Lebih mengujakan kami langsung tidak menerima sebarang makluman kerana bantuan ini hadir secara tiba-tiba dan pada waktu kami memerlukan kerana ramai penduduk tidak boleh mencari rezeki kerana sekatan akibat pandemik Covid-19. Alhamdulillah, ia sedikit sebanyak meringankan beban kami dan menggembirakan semua kira-kira 500 penduduk sini.

 

“Bukan sahaja pada waktu itu sahaja kami menerima bantuan ini kerana kalau tidak silap saya, sudah tiga kali penduduk di sini menerima kurniaan bantuan daripada Tuanku walaupun negara sudah keluar daripada pandemik wabak berkenaan. Alhamdulillah, kami bersyukur kerana mempunyai seorang Sultan yang sentiasa mengambil berat tentang rakyatnya.” katanya.

 

Untuk rekod, Keluarga DiRaja Johor telah menyumbangkan sebanyak RM123 juta sepanjang pandemik Covid-19 yang memberi manfaat kepada 1.6 juta rakyat di negeri ini.

 

#SultanBerjiwaRakyat
#MediDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor