SEMARANG JUARA!


Kontinjen Dewan Undangan Negeri (DUN) Semarang berjaya melakar sejarah apabila muncul juara Sukan Bangsa Johor 2024. | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

Kontinjen Dewan Undangan Negeri (DUN) Semarang mencipta kejutan dan berjaya melakar sejarah apabila muncul juara Sukan Bangsa Johor 2024 selepas mengutip 17 mata keseluruhan sekali gus membawa pulang wang tunai RM7,000 berserta piala pusingan.

 

Kejayaan mengungguli acara sepak takraw membolehkan DUN Semarang meraih 10 mata diikuti dengan sumbangan 5 mata berharga daripada acara bola jaring dan 2 mata penting melalui acara futsal dalam temasya sukan tahunan bagi edisi kali ini.

 

Keputusan lain, kontinjen DUN Bukit Batu dinobatkan sebagai naib juara manakala DUN Tiram selaku penyandang juara sekadar berpuas hati di kedudukan ketiga Sukan Bangsa Johor 2024 yang melabuhkan tirainya di Kompleks Sukan Kluang, hari ini.

 

Sementara itu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Jaafar (SDJ) menempa nama selaku juara sukan tradisional Kabaddi yang buat kali kedua dipertandingkan bagi mencungkil bakat baharu berpotensi mewakili Johor ke peringkat lebih tinggi.

 

Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan berjumlah RM1.1 juta bagi penganjuran edisi ketiga Sukan Bangsa Johor 2024 yang sememangnya menjadi manifestasi kepada usaha merakyatkan sukan seterusnya mengeratkan perpaduan dalam kalangan rakyat.

 

Majlis Perasmian Penutup dan Penyampaian Hadiah Sukan Bangsa Johor 2024 telah disempurnakan oleh YB Dato’ On Jabbar, Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Sukan, Belia dan Sukarelawan). Hadir sama, YBhg. Mohd Rafi Abdullah, Pegawai Daerah Kluang.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor