JTDC GERAK USAHA JOHOR SEDIA BAKAT TERBAIK


Gambar hiasan

 

Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang kini dalam fasa akhir perbincangan dan dijangka dimuktamadkan pada September ini, perlu disokong dengan tenaga kerja berkemahiran tinggi serta selari dengan keperluan industri dalam usaha merealisasikan Johor sebagai negeri maju menjelang tahun 2030.

 

Bagi tujuan tersebut dan mendepani cabaran ketidakpadanan pekerjaan yang menjadi dilema graduan, YB Aznan Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor sudah menggerakkan kerja penyelarasan bagi merealisasikan penubuhan Majlis Pembangunan Bakat Negeri Johor (JTDC).

 

Ini kerana JS-SEZ apabila diwujudkan kelak bakal menarik pelaburan bernilai tinggi sekali gus menjanjikan peluang pekerjaan selain memberi limpahan ekonomi di dalam sektor elektrik dan elektronik, perubatan, farmaseutikal, penerbangan, kimia khusus, logistik, kesihatan serta pendidikan.

 

Oleh itu, penubuhan JTDC dilihat mampu membantu menampung permintaan tenaga kerja dijangka berlaku peningkatan seterusnya dapat mengatasi isu ‘brain drain’ melalui pengklasifikasian industri yang bakal dibangunkan sebaik sahaja zon khas berkenaan dilaksanakan.

 

Kerajaan Negeri telah mengambil langkah proaktif dengan mengadakan mesyuarat penyelarasan penubuhan JTDC pada minggu lalu melibatkan jabatan dan agensi Kerajaan Persekutuan yang menterjemah komitmen menyediakan sumber manusia dan bakat untuk memenuhi kehendak industri.

 

Cadangan penubuhan JTDC dizahirkan oleh YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor ketika berucap merasmikan Majlis Perasmian Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) 2024 pada bulan lalu, bagi mencapai hasrat Kerajaan Negeri menyediakan tenaga kerja mencukupi dan menjayakan JS-SEZ.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor