KEJAYAAN KULAI FAST LANE DIIKTIRAF DAN WAJAR DICONTOHI


Kulai Fast Lane telah mencapai pencapaian signifikan dengan berjaya menarik pelaburan asing dan domestik bernilai lebih RM40 bilion. | Foto Nurina Aisyah.

 

Pelaksanaan Kulai Fast Lane (KFL) oleh Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) serta penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dengan kerjasama Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) menerima pengiktirafan oleh YBhg. Dato’ Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Ketua Setiusaha Negara.

 

Pengiktirafan tersebut dizahirkan beliau ketika mengadakan lawatan kerja ke MPKu selain turut menyuarakan keyakinan inisiatif berkenaan berpotensi meningkatkan produktiviti dan pelaburan yang memberi limpahan kepada Johor secara keseluruhan.

 

Malah, penggunaan teknologi AI serta inovasi dibawa MPKu amat wajar dicontohi oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang lain dalam meningkatkan sistem perkhidmatan bukan sahaja kepada masyarakat malah juga pemain industri sekali gus menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan antarabangsa.

 

Sejak dilaksanakan pada 11 Mei 2022, KFL yang juga menjadi strategi serampang dua mata dalam menjadikan Kulai sebagai destinasi pilihan pelaburan telah membantu mempercepatkan proses kelulusan pembinaan fasiliti pelaburan, kelulusan pelan, Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) serta pengeluaran lesen operasi.

 

Inisiatif tersebut telah mencapai pencapaian signifikan dengan berjaya menarik pelaburan asing dan domestik bernilai lebih RM40 bilion melibatkan kawasan seluas 1,642 hektar di Ibrahim Technopolis (IBTEC) di Sedenak dan Senai Airport City (SAC) di Senai selain mencipta 7,000 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.

 

Turut mengiringi lawatan kerja Ketua Setiausaha Negara ke MPKu ialah, YB Tan Sri Dato’ Dr. Haji Azmi Rohani, Setiausaha Kerajaan Johor; YBhg. Fizwan Dato’ Mohd Rashidi, Pegawai Daerah Kulai dan YBhg. Mohd Fahmi Salam, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kulai.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor